KUALA LUMPUR: Polis giat mengesan tujuh suspek berhubung kejadian samun bersenjata berhampiran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Ja'afar berkata dalam kejadian pada 4.30 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun cedera di kepala serta tangan dipercayai diserang menggunakan kayu dan parang.

"Mangsa mendakwa sedang berehat berdekatan sebuah stesen minyak di lebuh raya berkenaan sebelum disamun, Duit serta rantai leher mangsa dicuri dan nilai kerugian dianggarkan RM15,000.

"Hasil siasatan awal mendapati tiada orang lain ketika kejadian dan kenderaan dinaiki kesemua suspek juga masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA