KLANG: Polis giat mengesan dua individu untuk membantu siasatan kes cubaan bunuh.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, dua lelaki itu ialah Ng Ken Zheng, 30, dan Ng Kent Kiat, 34.

"Dua individu ini telah didaftarkan sebagai orang dikehendaki dan usaha untuk mengesannya masih dijalankan.

"Pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu ini untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis terdekat," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 28 November tahun lalu, Balai Polis Klang telah menerima aduan daripada seorang lelaki tempatan mengatakan bahawa telah dipukul dan cuba dilanggar menggunakan kereta oleh beberapa lelaki yang tidak dikenali.

Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh.

Mengulas lanjut, kata Hoong Fong, setakat ini, empat orang lelaki tempatan telah ditangkap untuk membantu siasatan.

"Kesemua suspek ini telah dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Klang pada 30 Disember tahun lalu," katanya. -Sinar Harian