SEPANG: Polis kini memburu empat lagi suspek kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuhraya MEX, berhampiran Cyberjaya pada 11 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat suspek warga tempatan itu merupakan sebahagian daripada 18 ahli kumpulan yang terlibat dalam merancang dan menculik kedua-dua mangsa.

Menurutnya, polis percaya kesemua suspek yang diburu itu, tiga lelaki dan seorang wanita, masih berada dalam negara.

BACA: Kes culik: 4 lelaki ditembak mati, babitkan tebusan RM5.5 juta

Jelasnya, dalam serbuan di Skudai, Johor pada 1 Ogos lalu, polis telah menembak mati empat suspek dalam insiden berbalas tembakan yang kemudiannya membawa kepada tangkapan 10 lagi suspek.

“Susulan itu, polis telah menangkap 10 orang lagi, iaitu enam lelaki dan empat perempuan.

“Daripada beberapa siri serbuan juga, polis berjaya menemui dan merampas kembali wang tebusan dalam kes culik tersebut.

“Selain daripada wang tunai, polis juga berjaya merampas barang disyaki dibeli menggunakan wang hasil tebusan tersebut. Wang tunai yang berjaya ditemui kembali adalah RM1.65 juta,” katanya.

Polis turut merampas berangan lain berupa tujuh buah kenderaan, enam jam tangan mewah, enam buah beg tangan, enam buah telefon bimbit serta satu utas loket emas.

Menurut Hussein, nilai keseluruhan barangan rampasan dianggarkan berjumlah RM3.1 juta, manakala wang tebusan dibayar menerusi mata wang kripto melebihi RM5 juta.

Tambah beliau, semua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan reman sehingga 14 Ogos bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau memberitahu perancang utama penculikan itu telah ditangkap dan ada juga telah ditembak mati.

Jelasnya, seorang perancang penculikan yang berjaya ditembak mati adalah pemandu kepada mangsa culik dari China itu.