JERTIH: Seorang wanita yang disyaki memperdayakan mangsa dengan menawarkan pelaburan 'kutu' tidak wujud diberkas polis di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini pada 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata suspek berusia 31 tahun itu ditahan hasil laporan oleh 17 mangsa "Jual Beli Due Kutu" membabitkan kerugian RM151,945 setakat semalam.

"Modus operandi digunakan suspek ialah memperdaya mangsa dengan memuat naik status di aplikasi WhatsApp "Bayar RM500 Terima RM550 Untung RM50" dan "Bayar RM1,000 Terima RM1,200 Untung RM200" dan selebihnya.

"Mangsa yang berminat dan terpedaya lalu membuat bayaran ke empat akaun bank kepunyaan suspek iaitu Bank Muamalat, Agro Bank dan dua akaun Maybank yang diberikan selain ada juga mangsa menyerahkan secara tunai kepada suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rozak berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila tidak menerima bayaran balik keuntungan sebagaimana yang dijanjikan pada tempoh ditetapkan suspek.

Beliau berkata siasatan awal ke atas suspek yang menjalankan perniagaan kosmetik itu mengaku telah menawarkan pelaburan dikenali "Jual Beli Due Kutu" secara bersendirian yang diiklankan melalui status di aplikasi WhatsApp sejak April tahun lepas hingga semalam.

"Pada awalnya, wanita itu menawarkan pelaburan berbentuk "kutu" tetapi telah diubah suai dengan nama "Due Kutu" disebabkan mendapat sambutan yang tinggi, dengan kebanyakan mangsa adalah kenalan suspek sendiri.

"Jumlah keuntungan yang ditawarkan suspek bergantung kepada kehendaknya sendiri dan dia tidak pernah menetapkan peratusan keuntungan bagi setiap jumlah pelaburan yang ditawarkan," katanya.

Abdul Rozak berkata suspek direman dua hari hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis masih mengumpul bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan.

"Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan tersebut diminta tampil membuat laporan dan memberi kerjasama dalam siasatan kes terbabit," katanya.

--BERNAMA