Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan percaya terdapat risiko polarisasi kaum meningkat jika pilihan raya kerajaan tempatan dibenarkan.

Beliau berkata hakikatnya adalah sebahagian besar rakyat Malaysia masih mengundi berdasarkan latar belakang kaum dan ini akan jelas kelihatan dalam pilihan raya kerajaan tempatan dan juga akan berlaku di kawasan bandar dan luar bandar.

"Saya harap DAP belajar daripada sejarah dan memahami kerumitannya. Pilihan raya kerajaan tempatan boleh menyebabkan cukai tempatan lebih tinggi kerana pegawai yang dipilih mempunyai lebih autonomi dalam menjalankan kuasanya," kata beliau dalam satu kenyataan di sini pada hari Sabtu.

Abdul Rahman mengulas usaha DAP mendesak supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula di Pulau Pinang.

Menurut Abdul Rahman, melantik, dan bukannya memilih, ahli majlis mempunyai beberapa kelebihan termasuk keupayaan kerajaan negeri untuk menggantikan pegawai tidak cekap dengan serta-merta dan jika tidak, hanya dapat dilakukan pada pilihan raya akan datang.

Kebaikan lain mengamalkan sistem kerajaan tempatan sekarang ialah pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan berjalan lancar yang dapat menangani isu-isu serius seperti bencana alam.

"Di negara-negara tertentu, pengisytiharan darurat oleh kerajaan persekutuan perlu sebelum bantuan kerajaan persekutuan dapat disalurkan kepada kawasan-kawasan pihak kerajaan tempatan dan ini akan menyebabkan kelewatan atau lambat bertindak jika berlaku bencana," katanya.