GEORGE TOWN: Sebanyak 20 kes pokok tumbang diterima Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas hujan lebat dan angin kencang yang melanda kawasan pulau di negeri ini sejak jam 12.50 tengah malam Ahad.

Kawasan yang terlibat ialah Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu /persimpangan Kondominium N Park, hadapan Stesen Minyak Petron Jalan Sultan Azlan Shah, Relau, Batu Maung, Persiaran Bukit Jambul, Solok Bukit Jambul, Jalan Sungai Dua, Jalan Tun Dr Awang Markas Tentera Bayan Lepas, Jalan Lembah Permai, Jalan Residensi, Bulatan Besar Bayan Baru, Cangkat Minden Jalan 1 Gelugor, Kolej Vokasional Batu Lanchang, Jalan Bukit Balik Pulau, Jalan Bukit Gambir dan Lintang Sungai Tiram.

MBPP dalam kenyataannya berkata, kesemua laporan itu termasuk laporan dahan pokok patah diterima petugas aduan hotline MBPP dalam tempoh antara 1 hingga 7 pagi, Ahad.

"Kesemua 20 lokasi tersebut telah diambil tindakan oleh anggota Skuad Pantas MBPP tanpa henti sehingga kerja selesai dan kawasan tersebut selamat digunakan orang awam.

"Setakat ini, hanya Lintang Sungai Tiram iaitu berhadapan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Heng Ee belum selesai manakala semua lokasi yang dilaporkan kepada MBPP, kerja pembersihan telah selesai," katanya pada Ahad.

Sementara itu, difahamkan antara kawasan yang dilaporkan banyak berlaku pokok tumbang dan dahan patah adalah di Bayan Lepas.

Beberapa buah kenderaan dikatakan ditimpa pokok tumbang dan dahan patah menyebabkan kerosakan kecil.

Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa atau kemalangan jiwa.

Sehingga kini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang masih belum mengeluarkan sebarang laporan berhubung kejadian pokok tumbang atau dahan patah. - Sinar Harian