Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) optimis menjadi platform dalam memperluas akses pinjaman untuk orang ramai dalam penggunaan buku elektronik dalam negara.

Meskipun industri buku elektronik ataupun lebih dikenali sebagai e-Buku di Malaysia masih di peringkat awal, namun usaha akan dibuat secara proaktif demi kemudahan pengguna.

Menurut ketua pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar industri e-Buku perlu diperluaskan.

“PNM selaku penyedia prasarana ilmu dan maklumat negara perlu ke depan seiring peningkatan bidang teknologi kini,” kata beliau.

Bagaimanapun, Raslin berkata penyediaan platform itu perlu penelitian terperinci kerana melibatkan beberapa perkara termasuk hak cipta sesuatu e-Buku.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian PNM sebagai tuan rumah Persidangan Ketua-ketua Pengarah Negara Asia dan Oceania ke-21 di Kuala Lumpur.

PNM mempunyai dua koleksi besar e-Buku terdiri daripada penerbitan yang dilanggan melalui penerbit dalam dan luar negara.

Sehingga 2012, PNM menerima sebanyak 136 buah e-Buku.