Anwar berkata peranan dan sokongan Sekretariat ASEAN penting bagi memastikan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia berjalan lancar.
"Alhamdulillah, kesiapsiagaan Malaysia untuk memikul tanggungjawab ini kini di peringkat akhir," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata keutamaan sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN adalah memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau selain melonjakkan perdagangan dan pelaburan serta memperluas kerjasama ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan yang terangkum.
"Bicara kami turut menyentuh perkembangan memuaskan dalam proses penggubalan Pelan Strategik Visi Komuniti ASEAN 2045 serta beberapa perkara lain terkait hal ehwal ASEAN," katanya.
Dalam hantaran itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran pasukan sekretariat dan seluruh delegasi negara anggota ASEAN ke Malaysia tahun depan.
-- BERNAMA