Perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa pemimpin dunia sebentar tadi melancarkan insiatif kerjasama global dalam mempercepatkan pelaksanaan, pengeluaran dan akses sama rata kepada vaksin dan rawatan COVID-19.

Inisiatif tersebut dilaksanakan oleh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan dihoskan oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Dr Tedros Adhanom.

Menurut Muhyiddin, Malaysia komited menjadi sebahagian daripada usaha ini dan menggesa pemimpin dunia, pemegang taruh, sektor swasta serta komuniti saintifik untuk menyokong langkah memerangi pandemik COVID-19.

Beliau dalam pada itu mengakui bahawa COVID-19 telah memberi impak besar kepada kehidupan serta ekonomi global.

“Satu-satu cara untuk memusnahkan musuh yang tidak boleh dilihat ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama.

“Dunia perlu bekerjasama untuk menyelaraskan usaha membangunkan kaedah berkesan bagi menghentikan strain penyakit ini,” katanya dalam ucapan tersebut.

Antara pemimpin yang menyertai persidangan dalam talian itu termasuk Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Canselor Jerman, Angela Merkel.

Selain itu, ia turut disertai Presiden Costa Rica, Carlos Alvarado Quesada; Perdana Menteri Norway, Erna Solberg; Perdana Menteri Itali, Giuseppe Conte; Pemerintah Arab Saudi, Yayasan Bill dan Melinda, Vaccine Alliance dan Bank Dunia.

Turut sama dalam siaran langsung di laman sesawang WHO itu adalah pemimpin kanan PBB, kesihatan awam serta industri dari seluruh dunia.