Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pemimpin yang disegani di forum peringkat antarabangsa dan Malaysia mendapat manfaat kerananya, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah, yang memegang portfolio menteri luar itu lebih lapan tahun di bawah kepimpinan perdana menteri serta kerap ke luar negara bersama bagi tugasan rasmi, bagaimanapun sedih kerana ada rakyat Malaysia yang tidak menghargai sumbangan Najib sedangkan Perdana Menteri begitu disegani di peringkat antarabangsa.

"Disebabkan Datuk Seri Najib disegani, maka banyak kelonggaran-kelonggaran, persetujuan-persetujuan boleh dicapai dengan negara-negara lain dari aspek dua hala, FTA (perjanjian perdagangan bebas), perdagangan," katanya.

Dalam taklimat media pasca Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 dan sidang kemuncak berkaitan di sini, Anifah berkata pemimpin dunia mengiktiraf perdana menteri bukan sahaja dari segi substantif isi-isi keperluan Malaysia tetapi juga dari segi penyampaian dan ketrampilan beliau yang begitu ketara di peringkat antarabangsa.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 di Manila, Filipina baru-baru ini, Anifah berkata pemimpin-pemimpin yang hadir menghargai pendirian Malaysia terhadap pelbagai isu seperti Rohingya, Laut Cina Selatan dan situasi di Semenanjung Korea.

"Ini jelas membuktikan keberkesanan dalam penyampaian oleh Perdana Menteri yang amat meyakinkan semasa sidang-sidang kemuncak, telah menjadikan beliau disegani dan dihormati oleh para pemimpin lain," katanya.

Menegaskan kepuasan serasi bekerja dengan kepimpinan perdana menteri, Anifah berkata ;"Alhamdullillah, saya senang bekerja dengan beliau, jika tidak, saya tidak akan bertahan sehingga lapan tahun."

Anifah berkata perdana menteri mudah dihubungi tanpa mengira waktu dan mampu membuat keputusan pantas dan cepat.

Berkongsi pengalaman di belakang tabir ketika menghadiri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Anifah berkata beliau menghubungi perdana menteri pada ketika itu pukul 3 pagi waktu Malaysia untuk mendapatkan pandangan pentingnya.

"Saya menghubungi beliau, (dan) beliau sentiasa ada. Beliau berkata ianya okay saya sudah jaga. Mudah sangat bekerja dengan Datuk Seri Najib," katanya.

Anifah turut menceritakan pengalaman bagaimana beliau menghubungi Najib pada pukul 3 pagi waktu Malaysia di tengah-tengah sidang Majlis Keselamatan PBB sedang berlangsung untuk mendapatkan keputusan penting Perdana Menteri berhubung resolusi majlis keselamatan.

"Saya beri taklimat kepada beliau...Kita mencadangkan ini, beliau (Najib) berkata teruskan. Beliau membuat keputusan dalam dua minit," kata Anifah.

--BERNAMA