Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menumpukan kepada program inovasi sosial di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan taraf hidup kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Ketua Eksekutif NCIA Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis NCIA Ke-18 di Bangunan Perdana Putra di sini.

Katanya Perdana Menteri juga mahu program inovasi sosial menjadi antara fokus utama dalam Pelan Tindakan Pembangunan NCER 2016-2025 dan terus diperkembangkan.

Redza berkata inisiatif Inovasi Sosial merupakan salah satu strategi transformasi utama untuk membawa hasil berimpak tinggi kepada rakyat di Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang.

"Kami akan mempunyai beberapa lagi projek di bawah inisiatif Inovasi Sosial, sebahagiannya untuk tahun ini dan ada yang untuk tahun depan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu pada Rabu.

Setakat ini, katanya Perlis dan Pulau Pinang, masing-masing mempunyai satu program inovasi sosial manakala di Kedah dan Perak, terdapat beberapa program yang sama.

Redza berkata Perdana Menteri juga meminta NCIA memberi penekanan kepada nod pertumbuhan yang telah dikenal pasti.

Tujuh nod pertumbuhan di Koridor Utara adalah Perlis Inland Port, Chuping Valley Industrial Area, Kedah Science and Technology Park, Kedah Rubber City, Greater Kamunting Cornubation Centre, Manjung-Aman Jaya Maritime City dan Batu Kawan Development, katanya.

"Ini adalah bidang yang perlu kami beri tumpuan. Dari segi masa depan, menjana peluang pekerjaan dan perniagaan, kami perlu menggunakan ini sebagai platform untuk meningkatkan KDNK dan menggunakan inisiatif seperti mekanisme inovasi sosial untuk membantu kumpulan B40 juga," katanya.

Redza berkata wujud keperluan untuk mencari penyelesaian kreatif dan inovatif untuk menggalakkan pertumbuhan mampan, mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing dalam kalangan rakyat.

"Inovasi sosial merupakan strategi, konsep, idea dan penyelesaian baharu yang memenuhi keperluan sosial, meningkatkan taraf hidup serta menawarkan tempat yang selamat dan lebih baik untuk diduduki," katanya.

Selepas mesyuarat tersebut, Najib yang juga Menteri Kewangan diperkenalkan kepada program Pusat Inovasi Komuniti Kubu Gajah mengenai pengeluaran madu yang berkualiti tinggi melalui aplikasi Meliponiculture.

Sementara itu, Redza berkata NCIA telah menarik RM4.65 bilion melalui penyertaan sektor swasta dan mewujudkan 5,033 peluang pekerjaan sehingga Jun tahun ini.

"Secara kumulatif, ini mencatatkan nilai pelaburan sebanyak RM84.5 bilion daripada sektor swasta dengan mewujudkan 108,630 peluang pekerjaan dari 2009 hingga Jun tahun ini," katanya.

-- BERNAMA