KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Khamis walaupun mencatatkan kenaikan semasa sesi dagangan awal, mencerminkan sentimen serantau yang lemah selepas ekuiti global memberikan petunjuk negatif dalam tempoh semalaman.

Pada pukul 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.82 mata untuk ditutup pada 1,600.68 daripada 1,611.50 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 3.39 mata lebih tinggi kepada 1,614.89, bergerak antara 1,598.64 hingga 1,615.84 sepanjang sesi dagangan.

Keseluruhan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 586 berbanding 419, manakala 543 kaunter tidak berubah, 906 kaunter tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.14 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 2.82 bilion unit bernilai RM2.22 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI mengalami penurunan hari ini susulan dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh dan lanjutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi China telah melemahkan minat risiko di seluruh rantau ini.

"Memandangkan pelabur kekal berhati-hati, aliran modal terus memihak kepada pasaran AS, yang dilihat sebagai pasaran selamat berikutan ketidaktentuan semasa dalam pasaran domestik dan serantau," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata data Indeks Harga Pengguna (IHP) AS lebih tinggi berbanding jangkaan seperti yang dikeluarkan semalam telah meningkatkan harapan terhadap kemungkinan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Disember, yang boleh merangsang pertumbuhan ekonomi.

"Bagaimanapun, di sebalik jangkaan ini, dolar AS kekal kukuh, disokong oleh inflasi yang meningkat dan hasil yang menarik, terus mempengaruhi pasaran serantau," katanya.

Mohd Sedek juga berkata lewat petang ini, pelabur akan memantau data ekonomi AS yang akan datang, dengan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) dan Tuntutan Pengangguran Awal boleh memberikan gambaran mengenai tekanan inflasi dan pasaran buruh.

"Esok, Malaysia akan mengumumkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dan AS pula akan mengeluarkan laporan jualan runcit, yang kedua-duanya dijangka menarik perhatian.

"Tumpuan kepada indikator ini menunjukkan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran global," katanya.

Antara saham berwajaran tinggi, Press Metal Aluminium merosot 19 sen kepada RM4.40, SD Guthrie menguncup 16 sen kepada RM4.85, Maxis kurang 11 sen kepada RM3.52, Maybank turun 12 sen kepada RM10.30, manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.47.

Antara saham aktif, Life Water turun enam sen kepada 88 sen, Mpire Global kurang tiga sen kepada 18 sen, manakala Cape EMS naik setengah sen kepada 38 sen, Classita menokok dua sen kepada 6.5 sen, dan Mega Fortris menambah tiga sen kepada 62 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Syariah turun 54.67 mata kepada 12,109.85, Indeks FBM 70 kurang 41.99 mata kepada 17,800.28, Indeks FBM ACE menguncup 12.02 mata kepada 5,129.59, Indeks FBM Emas susut 60.27 mata kepada 12,145.44, dan Indeks FBMT 100 merosot 64.96 mata kepada 11,845.88.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurang 1.39 mata kepada 167.85, Indeks Perladangan turun 35.97 mata kepada 7,684.19, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 97.38 mata kepada 19,094.23 namun, Indeks Tenaga naik 5.73 mata kepada 827.29.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.81 bilion unit bernilai RM2.43 bilion daripada 1.43 bilion unit bernilai RM1.95 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.02 bilion unit bernilai RM128.34 juta daripada 1.01 bilion unit bernilai RM114.69 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 306.31 juta unit bernilai RM121.64 juta berbanding 384.56 juta unit bernilai RM148.83 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 547.09 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (476.58 juta), pembinaan (83.09 juta), teknologi (181.36 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (91.20 juta), hartanah (119.88 juta), perladangan (67.50 juta), REIT (16.23 juta), dana tertutup (4,400), tenaga (85.34 juta), penjagaan kesihatan (51.11 juta), telekomunikasi dan media (30.82 juta), pengangkutan dan logistik (29.76 juta), utiliti (31.91 juta), serta amanah perniagaan (532,100).

-- BERNAMA