Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di sini Ahad untuk lawatan kerja tiga hari yang padat ke ibu negara Jepun, lawatan pertamanya ke luar negara selepas menjadi perdana menteri Malaysia yang ketujuh, bulan lepas.

Aturcara lawatan Dr Mahathir ke Jepun mengandungi senarai panjang acara, mesyuarat dan temu bual media, bermula dengan majlis makan malam bersama komuniti rakyat Malaysia di negara ini.

Pesawat yang membawa pemimpin Malaysia yang berkarisma itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira 4.55 petang Ahad. Malaysia satu jam di belakang Jepun.




Dr Mahathir, yang berada di sini khusus untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei ke-24 mulai hari ini hingga 12 Jun, diiringi isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan para pegawai Kementerian Luar.

Turut menyambut ketibaannya di lapangan terbang ialah Naib Menteri Parlimen bagi Hal Ehwal Luar Jepun Iwao Horii, Duta Besar Jepun ke Malaysia Makio Miyagawa dan juga Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris.



Pada Persidangan Nikkei, ucapan Dr Mahathir akan berkisar di sekitar tema persidangan 'Keeping Asia Open - How to Achieve Prosperity and Stability'.

Satu lagi acara utama lawatan Dr Mahathir adalah bertemu dengan rakan sejawatannya Shinzo Abe, dan juga menghadiri beberapa siri perbincangan dengan pemimpin perniagaan Jepun dan wakil industri perbankan.

BACA: Dr Mahathir adakan lawatan kerja ke Jepun 10-12 Jun ini

BACA: Dr Mahathir bakal jadi tumpuan pada Persidangan Nikkei 2018

BACA: Agenda padat Perdana Menteri di Jepun


Beliau juga dijangka menyampaikan ucapan berhubung tema persidangan, Hubungan Malaysia-Jepun di bawah Pentadbiran Baharu Tun Dr Mahathir pada satu majlis di House of Councillors.

Juga menarik perhatian adalah interaksi perdana menteri dengan media Jepun pada majlis dialog di Japan National Press Club.

Dr Mahathir akan berlepas pulang ke tanah air pada Selasa.

-- BERNAMA