Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein di Masjid Ar-Rahah, Pantai Dalam di sini pada Isnin.

Turut hadir ibu Najib Tun Rahah Mohammad Noah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Majlis anjuran Felda itu diketuai Ketua Masjid Ar-Rahah Ustaz Muhammad Akmal Abdul Aziz dan dihadiri kira-kira 500 orang.

Dalam ucapan ringkas kepada hadirin selepas solat Isyak berjemaah, Perdana Menteri berkata Felda amat dekat di hati ayahanda beliau.

Katanya Allahyarham amat bersungguh-sungguh mahu mengubah dan memerangi kemiskinan khususnya di kalangan orang Melayu menerusi rancangan Felda.

"Felda merupakan rancangan pembangunan tanah paling berjaya dan kini kita boleh berbangga kerana Felda telah memasuki ke peringkat baru iaitu menjadi badan korporat tersohor di dunia," katanya.

Beliau berkata perjuangan Felda yang bermula pada 1956 sehingga kini masih relevan dan berterusan.
Allahyarham Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia kedua, meninggal dunia pada 14 Januari 1976, di London kerana penyakit leukemia pada usia 53 tahun.

Sementara itu, Najib berkata kawasan Lembah Pantai perlu dirampas semula daripada pihak pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

"Berkat usaha bersama dan berkat kita mendirikan masjid ini, mudah-mudahan, Allah akan mencapaikan cita-cita kita," katanya.