LONDON: Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di London, United Kingdom (UK) bagi memulakan lawatan kerja bermula hari ini sehingga 19 Januari ini.

Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Pesawat khas yang membawa Anwar tiba di Lapangan Terbang Stansted pada pukul 10.50 malam Selasa waktu tempatan (6.50 pagi Rabu waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar dan Atase Pertahanan, Datuk Brigedier Jeneral Safwan @ Asri Ismail.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Wakil Khas Setiausaha Luar Negeri UK, Richard Wildash dan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Wallace.

Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri  Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Lawatan kerja lima hari Perdana Menteri ke UK adalah atas jemputan rakan sejawatannya, Keir Starmer.

Menurut Zakri dalam sidang media pada Isnin, lawatan kerja tersebut mencerminkan keakraban hubungan antara Malaysia dan UK, selain dijangka menjadi wadah terbaik untuk Anwar mengetengahkan dasar luar Malaysia.

Dalam pada itu, jadual padat menanti Anwar sepanjang lawatan kerja tersebut, dengan hari pertama beliau akan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Starmer di No. 10, Downing Street.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh beberapa perkara termasuk kerjasama dua hala dalam bidang ekonomi seperti perdagangan dan pelaburan, pengajian tinggi, agrikomoditi, serta tenaga boleh baharu dan alam sekitar.

Selain itu, turut dijangka dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang pertahanan, digital, hubungan sesama rakyat termasuk pendidikan, pertukaran kebudayaan dan sektor pelancongan, dan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama seperti Kepengerusian ASEAN, situasi di Asia Barat dan Myanmar.

Anwar dan Starmer kemudian akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Joint Economic Trade Committee and Other Supporting Mechanism (MUKJETCO) antara Kementerian Perdagangan, Pelaburan dan Industri bersama Department for Business and Trade (DBT), UK.

Dalam rangka lawatan kerja tersebut juga, Perdana Menteri antaranya akan mengadakan mesyuarat meja bulat bersama kapten-kapten industri UK melibatkan kira-kira 40 syarikat tempatan.

Sehingga November 2024, jumlah perdagangan Malaysia dan UK adalah sebanyak RM15.3 bilion.

Dari aspek perdagangan, Malaysia merupakan rakan dagang keempat terbesar UK dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Singapura, Vietnam dan Thailand.

Manakala, UK merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah.