PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah di Kompleks Seri Perdana, di sini.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah, di Kompleks Seri Perdana, diiringi oleh isteri dan beberapa menteri Malaysia.
  • Lawatan rasmi lima hari Putera Mahkota Brunei bertujuan memperkukuh hubungan dua hala, serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
  • Lawatan ini menambah makna kepada hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei, terutama ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik, dengan Brunei menjadi rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam ASEAN pada 2023.


Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, tiba di Malaysia semalam bagi memulakan lawatan rasmi lima hari dari 17 Ogos hingga 21 Ogos.

Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah tiba di Seri Perdana pada 11.25 pagi disambut Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.

Anwar dan Putera Mahkota Brunei kemudian mengadakan pertemuan secara tertutup bagi membincangkan langkah memperkukuh hubungan dua hala, serta menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Lawatan Putera Mahkota Brunei menambah lagi makna kepada hubungan istimewa dan mesra antara Malaysia dan Brunei yang bertunjangkan kesamaan warisan, budaya dan hubungan antara rakyat. Ini terutamanya ketika kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini.

Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN pada 2023, dengan jumlah dagangan sebanyak US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA