PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan kira-kira 1,200 komuniti nelayan, petani dan penternak dalam majlis berbuka puasa di kediaman rasmi ,Seri Perdana, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ,Datuk Seri Mohamad Sabu, serta isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Majlis yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran 14 anak yatim masing-masing dari Rumah Bakti Al- Kausar dan Rumah Cahaya Kasih.

Majlis itu turut dihadiri 13 anak yatim yang didatangkan dari Rancangan Sungai Behrang, Felda Trolak, Rancangan Sungai Tengi, Rancangan Sungai Tengi Selatan dan Rancangan Gedangsa.

Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan komuniti berkenaan serta anak yatim dan warga kementerian yang turut hadir sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah.

-- BERNAMA