PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyantuni Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang menyambut ulang tahun ke-15 mereka.

Beliau tiba 12.15 tengah hari di perkarangan pejabat UKAS di Kompleks Setia Perdana dan turut bersama warga kerja UKAS di majlis rumah terbuka mereka.

Anwar juga meluangkan masa beramah mesra dengan lebih 300 warga kerja UKAS dan tetamu.

Turut hadir Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Pengarah UKAS Datuk Shamsul Azri Abu Bakar.

UKAS berperanan sebagai agensi pusat dalam membentuk jalinan kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta, melalui program kerjasama awam swasta (PPP) yang memberi impak kepada ekonomi negara.

-- BERNAMA