Pertemuan berkenaan akan diadakan di No. 10, Downing Street pada 1 tengah hari waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia).
Anwar yang mewakili Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dan Starmer, akan mengetuai delegasi masing-masing pada mesyuarat berkenaan yang memberi tumpuan kepada mengukuhkan hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara, Datuk Zakri Jaafar.
Pada pertemuan itu kedua-dua pemimpin dijangka menyentuh pelbagai isu dua hala serta situasi di Myanmar dan Palestin.
Kerajaan pimpinan Starmer telah menggantung penjualan beberapa senjata kepada Israel di samping meminta supaya bantuan kemanusiaan ke Gaza dan Tebing Barat dipercepatkan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadualkan menghadiri pelancaran produk oleh YTL Group UK hari ini.
UK merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia di Eropah dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah RM15.30 bilion (US$3.34 bilion) sehingga November 2024. - BERNAMA