SEPANG:Lebih 400 penduduk di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Medan 88, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, gagal dikesan pada hari pertama pelaksanaan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid pada satu sidang media hari ini.

Menjelaskan apa yang berlaku, beliau mengambil contoh pengalaman melaksanakan PKPD Hentian di Kajang sebelum ini.

"Apabila kepungan dibuat pada tengah malam, bermula jam 1 pagi, ada (penduduk) yang balik kerja lebih awal dan lambat. Penduduk yang balik awal, mereka akan disaring.

"Tetapi ada penduduk yang di depan mata kita, keluar begitu saja.

"Jadi, apabila PKPD Medan 88 ini kita laksanakan, penduduk dapat tahu awal, perkara sama berulang.

"Akibatnya, walaupun kita sasarkan sekitar 700 hingga 800 penduduk, yang tidak dapat dikesan seramai 400 orang," katanya.

BACA: PKPD di Medan 88 Salak Tinggi, Sepang bermula esok - Ismail Sabri

BACA: COVID-19: PM tinjau pusat ujian saringan di Bandar Baru Salak Tinggi

Sehubungan itu, beliau meminta semua penduduk terbabit menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah Sepang bagi menjalani ujian saringan COVID-19.

Mohamad Zain berkata, kerjasama daripada penduduk yang enggan pulang amat diharapkan demi keselamatan masyarakat.

Tambahnya, PKPD dilaksanakan supaya setiap penduduk dapat disaring, bukan sahaja untuk mengawal keselamatan semata mata.