KUALA LUMPUR: Kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti di Pahang dari 10 hingga 23 Oktober nanti.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, memaklumkan dua lokaliti terbabit ialah Pos Sinderut dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lejang serta Pos Titom, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

Beliau menjelaskan keputusan melanjutkan PKPD itu dibuat setelah meneliti analisis oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19.

Selain itu, Rodzi juga memaklumkan tiga lokaliti di Sabah dan tiga lagi di Pahang ditamatkan PKPD pada 9 Oktober seperti dijadualkan.

Lokaliti tersebut adalah Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan di Ranau serta Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sook, Keningau di Sabah.

Selain itu tiga lokaliti di Pahang ialah Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau serta Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab di Temerloh.