LANGKAWI: Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi melaksanakan satu sekatan jalan raya (SJR) selain menutup tiga laluan utama keluar masuk dari penempatan Bukit Malut, Langkawi susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah, Supritenden Samsulmudin Sulaiman, kawalan serta pemantauan ketat juga akan dilaksanakan di kawasan perairan di lokaliti berkenaan.

Jelas beliau, ia bagi memastikan tiada pergerakan keluar dalam kalangan penduduk ke kawasan lain di Pulau Langkawi melalui jalan laut memandangkan majoriti mereka adalah kumpulan nelayan.

Tambah Samsulmudin, kira-kira 100 petugas akan ditempatkan untuk menjalankan kawalan keselamatan di PKPD Penempatan Bukit Malut dalam satu-satu masa yang melibatkan pihak PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pasukan Rela.

"Bagi PKPD Penempatan Bukit Malut, (penugasan) kita agak mencabar, kerana kita bukan hanya berada di darat malahan (kawalan yang dibuat adalah) daripada darat sehingga ke laut, (kerana) di kawasan ini (turut) mempunyai penempatan penduduk,

"Kawalan (yang dibuat di) kawasan perairan ini adalah supaya, tiada mana-mana bot, tidak kira sama ada bot nelayan atau sebagainya yang keluar atau boleh masuk ke kawasan (penempatan) itu (yang dilaksanakan PKPD)," ujar Shamsulmudin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di SJR dan pondok gerakan PKPD, di Bukit Malut, Langkawi, awal pagi Selasa.

Dalam pada itu, polis Langkawi mengesahkan bahawa menerima laporan berkaitan tindakan penduduk di penempatan terbabit yang telah keluar lebih awal sebelum pelaksanaan PKPD.

Susulan itu, Samsulmudin menyatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk mengesan individu yang terlibat termasuk dengan bantuan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Langkawi.

"Kita juga dapat maklumat ada dari kalangan mereka yang mungkin berasa takut apabila (mendengar kawasan ini akan dilaksanakan) PKPD, dan ada yang (telah) keluar daripada kawasan ini, bagaimanapun PDRM sedang berusaha dengan bantuan dari KKM untuk mengesan (mereka) supaya tiada orang yang bawa (jangkitan) COVID-19 ke (kawasan) luar," jelas beliau.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan bahawa kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 28 lokaliti di Kelantan, Perak, Kedah dan Sabah bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos 2021 termasuk penempatan Bukit Malut..