Pengerusi PERNAS Datuk Hazimah Zainuddin berkata acara sulung itu menyasarkan transaksi jualan lebih RM12 juta sekali gus membuka potensi perniagaan dan pengembangan yang ketara dalam industri francais.
Beliau berkata acara itu memberi tumpuan kepada sektor kopi dan kafe dengan matlamat mewujudkan peluang baharu, memacu pertumbuhan francais dan memperkasakan usahawan yang beraspirasi.
"Festival itu menampilkan 19 reruai antarabangsa dengan penyertaan usahawan dari Jerman, China, Taiwan, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Sebanyak 68 jenama akan dipamerkan termasuk perniagaan tempatan dan antarabangsa serta agensi kerajaan. Secara keseluruhan, terdapat 119 reruai pada acara itu.
"Kami menjangkakan ramai pengunjung akan berminat untuk menceburi perniagaan francais," katanya dalam sidang media pada majlis prapelancaran PIFF 2025 di Menara PERNAS di sini pada Selasa.
Sementara itu, Hazimah dalam ucapannya berkata PIFF 2025 mengintegrasikan elemen ASEAN dengan penyertaan jenama kopi dan pembeli dari rantau ASEAN, mencerminkan visi Malaysia untuk keterangkuman sebagai Pengerusi ASEAN.
Beliau berkata acara itu juga bertujuan menggabungkan pandangan antarabangsa dengan kepakaran tempatan, dan pendekatan unik ini membolehkan peserta belajar, menyesuaikan diri, mencipta inovasi dan membina kerjasama yang saling menguntungkan.
Antara tumpuan utama dalam acara itu ialah sesi rangkaian dan padanan perniagaan, terutamanya dalam kalangan pemain industri dalam sektor kopi dan kafe serta usahawan yang penuh aspirasi dan berpengalaman.
"PIFF 2025 juga akan menawarkan aktiviti menarik dan menyeronokkan untuk orang ramai, seperti permainan e-sukan, seni latte, pertandingan barista, peraduan berasaskan kopi bagi kanak-kanak, konsert mini dan persembahan pemuzik jalanan. Persembahan dan aktiviti ini disesuaikan untuk semua peringkat umur.
"Saya percaya dengan menyertai festival ini akan memperkasakan usahawan untuk meletakkan kedudukan pertumbuhan perniagaan mereka dalam landskap kompetitif, di samping memberikan pengalaman kepada orang ramai khususnya pencinta kopi," katanya.
Selain itu, Hazimah berkata pasaran kedai kopi berjenama Malaysia meningkat 28 peratus pada 2023, mencecah lebih 3,330 premis, menurut data daripada World Coffee Portal.
"Pertumbuhan pesat ini didorong oleh ekonomi yang diunjur berkembang empat hingga lima peratus tahun lepas. Walaupun kopi menjadi 'tumpuan utama', teh tidak dilupakan dengan pilihan berkafein dan tanpa kafein semakin mendapat perhatian," katanya.
-- BERNAMA