KEPALA BATAS: Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) melalui inisiatif pengantarabangsaannya membantu usahawan francais meningkatkan perniagaan mereka, sekali gus berkembang dalam dan negara.


Ringkasan AI
  • Pernas membantu usahawan francais Malaysia mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa melalui misi perdagangan dan inisiatif pengantarabangsaan.
  • Pernas menyertai pameran antarabangsa dan dianugerahkan 'Agensi Kerajaan Terbaik dalam Francais', sambil membawa jenama terkenal Malaysia ke pasaran luar negara.
  • Pernas menyediakan pembangunan kapasiti dan pembiayaan untuk usahawan francais, dengan sasaran RM50 juta bagi siri jelajah BizFrancais tahun ini, termasuk membawa masuk jenama antarabangsa ke Malaysia.


Pengerusinya, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, antara inisiatif dilaksanakan termasuk misi perdagangan ke luar negara, yang bertujuan mempromosi pembangunan perniagaan dan menghubungkan rakan-rakan strategik Pernas, yang turut hadir ke program tersebut ke pasaran antarabangsa.

Beliau berkata Pernas selaku syarikat dimiliki Menteri Kewangan (diperbadankan), diberi mandat untuk menerajui pembangunan industri francais di Malaysia, dan sasaran tahun ini ialah memperluaskan francais yang ada dalam negara ke peringkat antarabangsa.

"Seperti baru-baru ini, Pernas ke Dubai sempena Pameran Gulfood 2024 dan Gulf Franchise Expo 2024, dan Pernas dianugerahkan 'Agensi Kerajaan Terbaik dalam Francais' dan kita bawa 10 syarikat dan jenama terkenal di Malaysia ke sana antaranya Mina, BubblesO2, Cheese U, Pasta Panas, Richiamo, Makeria serta Serai.

"Pernas nak lebarkan jenama tersebut ke luar negara dan dalam masa sama kami bawa francais dari luar untuk usahawan kita ceburinya, serta jalankan perniagaan di Malaysia," katanya selepas Majlis Perasmian Program BizFrancais Pulau Pinang 2024, dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Usahawan dan Luar Bandar negeri Rashidi Zinol.

Hazimah berkata Pernas juga melengkapkan para usahawan dengan pembangunan kapasiti, melalui pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk beroperasi dalam platform perdagangan antarabangsa.

Beliau berkata antara program yang diadakan ialah Soft Landings Programme (SLP) di Universiti Swansea, United Kingdom pada 11 hingga 24 Jan, program yang direka bagi membantu usahawan francais Malaysia bersedia melebarkan sayap ke pasaran antarabangsa, khususnya ke United Kingdom seterusnya ke seluruh Eropah dan Amerika Syarikat.

Selain itu, beliau berkata Pernas turut meneroka peluang dan potensi perjanjian perniagaan serta rakan perniagaan, untuk membawa jenama antarabangsa yang berpotensi masuk ke Malaysia dan inisiatif tersebut djalankan menerusi misi perniagaan ke United Kingdom, Istanbul dan Doha, Qatar.

Sehubungan itu, Hazimah berkata Pernas telah mengenal pasti tiga jenama antarabangsa yang berpotensi untuk dibawa masuk ke Malaysia, bagi mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dalam bidang francais seperti D Sara Fried Chicken, yang ketika ini mendapat sambutan baik.

Beliau memaklumkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui Pernas, menyasarkan potensi pembiayaan RM5.7 juta dalam usaha memperkukuh industri francais di empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang tahun ini.

"Pernas sentiasa melaksanakan inisiatif berterusan dalam memperkasa keusahawanan francais untuk meningkatkan penglibatan orang ramai dalam bidang keusahawanan dan perniagaan, serta memperkasa kapasiti dan keupayaan usahawan tempatan.

"Kami menyasarkan 165 permohonan dengan potensi pembiayaan RM50 juta bagi keseluruhan siri jelajah BizFrancais pada tahun ini termasuk di tiga negeri iaitu Pahang, Sabah dan Sarawak dan pada tahun lepas RM25.24 juta telah berjaya disalurkan kepada usahawan melalui program tersebut," katanya.

Program BizFrancais Pulau Pinang merupakan lokasi kedua bagi siri jelajah program itu pada tahun ini selepas Sarawak dan Program BizFrancais telah diperkenalkan sejak 2019 dengan 20 siri telah dianjurkan di seluruh negara.

-- BERNAMA