Jabatan Meteorologi Malaysia meminta orang ramai tidak terlalu cepat mempercayai mana-mana berita melalui media sosial yang yang menyatakan akan berlaku kejadian puting beliung semasa perlawanan Akhir Piala Malaysia malam ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Che Gayah Ismail berkata, ribut petir berkemungkinan berlaku malam ini memandangkan situasi semasa sehari-hari.

"Jangan percaya sangat, setakat ini memang tiada puting beliung akan berlaku.

"Kalau ribut petir itu biasalah, lagipun sekarang memang musimnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Gayah mengulas beberapa pesanan melalui kumpulan WhatsApp yang menyatakan ribut petir serta kemungkinan puting beliung berlaku di lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

Jabatan Meteorologi sebelum ini pernah menafikan ia mengeluarkan amaran puting beliung dijangka berlaku di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya pada akhir Oktober lepas.

Pada Jumaat, sekurang-kurangnya 35 rumah di sekitar daerah Kota Setar, Kedah rosak teruk selepas dilanda puting beliung kecil dikenali sebagai belalai air.

Sebelum ini, kejadian hampir sama berlaku yang melanda Pandamaran, Klang menyebabkan kira-kira 30 atap rumah diterbangkan angin dan ribut.

Pada pertengahan Oktober, sekurang-kurangnya 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah di Kampung Alor Besar di Kedah juga mengalami kerosakan teruk setelah dilanda puting beliung.

Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi (http://www.met.gov.my/) menyatakan ribut petir dan hujan lebat akan melanda sekitar Wilayah Persekutuan padan petang dan malam Ahad.