KUALA LUMPUR: Sekali pandang tidak ada yang luar biasa tentang petempatan ini dengan deretan banglo berserta laman yang terjaga rapi di sepanjang jalan yang agak luas namun sunyi daripada kenderaan.
Di laluan masuk ke setiap banglo yang bereka bentuk moden itu pula, terdapat kereta sedan dan kenderaan utiliti sukan (SUV).
Namun begitu, jika di kawasan perumahan biasa basikal kanak-kanak dan mainan lain menjadi pemandangan lumrah, di sini hanya ada kereta golf.
Bagai menjawab "misteri" itu, di Orchard Creek Lodge iaitu rumah kelab yang terletak di tengah-tengah kejiranan, hanya kelihatan warga emas sedang bersantai.
Nyata, kawasan kediaman ini bukan tempat tinggal golongan muda, namun ia juga bukanlah premis untuk golongan lanjut usia yang hanya menunggu ajal datang menjemput.
Sun City Lincoln Hills di California, Amerika Syarikat (AS) adalah kawasan petempatan usia terhad untuk golongan berumur 55 tahun ke atas.
"Ini bukan petempatan untuk komuniti pesara kerana sesetengah penduduk masih bekerja walaupun sebahagian yang lain sudah bersara," kata Kyle Bodyfelt, pengarah eksekutif persatuan pemilik rumah kawasan kediaman itu.
Konsep yang semakin popular di AS, komuniti 55 tahun ke atas ini digambarkan sebagai masyarakat dewasa aktif iaitu mereka yang hampir mencapai usia persaraan, sihat tubuh badan serta mempunyai pendapatan boleh guna selain tidak banyak tanggungjawab dan mahu menikmati sepenuhnya hari-hari tua mereka.
Kawasan kediaman ini biasanya dibina berhampiran pusat beli-belah, restoran, taman dan lain-lain, di mana penduduk boleh melakukan aktiviti sosial.
Sekalipun ada kemudahan penjagaan kesihatan dan perniagaan di kawasan berhampiran, premis terbabit bukan sebahagian daripada pembangunan petempatan itu.
Yuran persatuan pemilik rumah pula digunakan untuk membiayai kemudahan yang disediakan di kawasan petempatan seperti dua telatap atau rumah rehat yang ada di Lincoln Hills ini.
Persatuan penduduk juga aktif dan menyediakan pelbagai kegiatan serta kelas untuk penduduk seperti pickleball (sukan seperti badminton namun dimainkan di gelanggang tenis), muzik dan kraf.
Kebanyakan penduduk yang ditemui Bernama ketika berkunjung ke petempatan itu bulan lepas, kelihatan gembira ketika menggambarkan kehidupan mereka yang dipenuhi aktiviti melancong dan bersosial dengan rakan-rakan.
"Ada banyak peluang apabila anda telah bersara. Begitu banyak benda yang kini anda bebas untuk lakukan, belajar perkara baharu, melancong, memang menyeronokkan," kata Carol Shuey yang berpindah ke kawasan itu bersama-sama suaminya pada 2003.
Tambah wanita itu, mereka tidak berasa kesunyian ataupun terpinggir daripada keluarga kerana sanak saudara bebas menziarahi mereka sekalipun individu yang berusia bawah 55 tahun hanya dibenarkan menginap di situ selama 60 hari dalam setahun.
Selepas Malaysia dibanci menuju masyarakat menua pada 2020, yang mana golongan berusia 65 tahun ke atas mewakili tujuh peratus daripada populasi, ada gesaan agar rakyat yang sudah berusia namun masih sihat dan aktif ditawarkan lebih banyak peluang dalam menjalani kehidupan mereka.
Antara opsyen yang disyorkan ialah komuniti warga emas aktif, namun pakar pantas mengingatkan bahawa sesuatu yang berjaya dilaksanakan di AS tidak semestinya membuahkan hasil yang sama di Malaysia.
PERBEZAAN BUDAYA
Kemajuan perubatan membolehkan manusia hidup lebih lama dan sihat. Persaraan tidak lagi bererti perlu tinggal dengan anak-anak atau di rumah jagaan warga emas kerana kehidupan berkualiti sama penting dengan jangka hayat yang panjang.
Kini, apabila seseorang bergelar warga emas, dia masih boleh hidup dengan aktif selama beberapa dekad lagi.
Setakat 2021, kira-kira 17 peratus penduduk AS berusia 65 tahun ke atas, menjadikannya negara menua. Sebagai perbandingan, Malaysia menjangka jumlah penduduknya yang berusia 65 tahun ke atas akan mencecah 14 peratus menjelang 2044.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah rakyat Malaysia berusia 65 tahun ke atas meningkat kepada 7.3 peratus pada 2021.
Pada Oktober tahun sama, jabatan itu mengunjurkan Malaysia mungkin menjadi negara menua menjelang 2030 dengan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas mewakili 15 peratus daripada populasi, dan antara penyebabnya ialah penurunan kadar kelahiran sebanyak 1.7 peratus.
Di Malaysia, belum wujud kawasan petempatan khusus untuk peringkat umur tertentu. Sebaliknya, komuniti warga emas aktif di sini merangkumi perkampungan persaraan serba lengkap, daripada unit serba lengkap namun berkongsi kemudahan asas yang disediakan di dalam kawasan perkampungan hinggalah pangsapuri mewah ala resort, lengkap dengan padang golf berserta kemudahan pusat jagaan.
Antara faedah yang diberikan oleh petempatan sebegini ialah peluang hidup bermasyarakat yang amat penting bagi kumpulan usia ini.
"Amnya, apabila berbicara tentang keterasingan sosial, ia meningkatkan risiko anda mengalami masalah kesihatan dan kematian menyamai risiko perokok," kata Prof Dr Tan Maw Pin daripada Bahagian Perubatan Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya.
"Saya boleh rawat strok atau penyakit jantung dengan baik namun pesakit masih tidak pulih sepenuhnya jika saya jaga aspek sosialnya," tambah beliau.
Di Malaysia, keterasingan sosial dalam kalangan warga emas berlaku menerusi banyak cara. Dari segi budaya, penekanannya adalah anak-anak menjaga ibu bapa mereka yang telah tua, namun aspek ini sedang mengalami perubahan.
Dr Tan berkata satu cara golongan ini mengalami keterasingan sosial ialah apabila ibu bapa yang lanjut usia atau menghidap penyakit tinggal bersama anak-anak dan mereka biasanya terbiar bersendirian kerana ahli keluarga terlalu sibuk.
Satu lagi punca ialah kematian pasangan dan gangguan kegelisahan sosial.
"Masyarakat kita (enggan) menjalinkan persahabatan baharu apabila telah mencapai peringkat usia tertentu," katanya.
Akibatnya, kata pakar, tidak ramai rakyat Malaysia mahu berpindah ke perkampungan persaraan atau petempatan umur terhad sekalipun ia menjanjikan kehidupan sosial yang lebih aktif.
Sebaliknya, mereka lebih cenderung tinggal di rumah sendiri dalam jaringan sosial sedia ada, ataupun tinggal bersama anak-anak.
Ketua Unit Jabatan Harta Tanah, Falkuti Alam Bina, Universiti Malaya Dr Sr Ainoriza Mohd Aini memberitahu Bernama warga emas di Malaysia juga cenderung hidup berhemat dan lebih gemar membeli hartanah sebagai pelaburan.
"Bagi kaum Melayu, semasa kami membuat kaji selidik mendalam, kami dapati apabila mereka semakin menua, mereka tidak mahu lagi membelanjakan wang, dan kos perkampungan persaraan bukan murah," katanya.
Ainoriza dan pasukannya menjalankan kaji selidik itu pada 2015 dengan geran daripada Kementerian Kewangan.
Mereka menemu bual 768 responden berusia 50 tahun ke atas tentang pilihan tempat tinggal apabila bersara.
Kaji selidik tersebut mendapati 22 peratus daripada responden sedia berpindah sebagai sebahagian pelan persaraan mereka, namun daripada jumlah itu hanya lima peratus bersedia tinggal di perkampungan persaraan.
"Sangat sedikit rakyat Malaysia yang mahu berpindah ke perkampungan persaraan. Majoriti rakyat mahu terus tinggal di rumah yang mereka diami," kata Ainoriza.
Bagaimanapun kata beliau, pemikiran orang ramai tentang kehidupan selepas bersara mungkin telah berubah dalam tempoh tujuh tahun sejak kaji selidik itu dijalankan.
Seorang daripada mereka ialah broker saham Cik Khuzaimah Abdul Malek. Pada usia 48 tahun, wanita ini sudah memikirkan tentang masa depannya memandangkan anak-anaknya semakin dewasa dan mula meninggalkan rumah menyambung pendidikan di universiti, sementara dia dan suami pula semakin menghampiri usia persaraan.
Cik Khuzaimah memberitahu Bernama, daya tarikan utama untuknya berpindah ke kawasan petempatan sedemikian ialah bagi mencari kawan yang mempunyai pelbagai minat.
"Dekat sini tak ada kawan (kalau) nak pergi main badminton atau hiking," keluhnya.
ASAS SUDAH TERSEDIA
Ironinya, kebanyakan kawasan perumahan di Malaysia sudahpun menyerupai komuniti warga emas aktif namun tanpa diskriminasi umur.
Pakar berkata sepertimana komuniti pesara di AS, kawasan perumahan ini kebanyakannya didiami oleh warga emas yang bergaul sesama sendiri serta saling mengambil berat.
Bagaimanapun perubahan demografik itu berlaku bukanlah kerana direka bentuk sedemikian, sebaliknya disebabkan anak-anak telah dewasa dan berpindah keluar.
"Terdapat banyak taman (perumahan) di negara ini di mana anak-anak menetap di bandar raya, bekerja di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur atau Selangor," kata Presiden Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas Se-Malaysia (AGECOPE) Delren Terrence Douglas.
"Daripada minta warga emas beli kediaman baharu atau berpindah ke kawasan petempatan baharu, ada baiknya ubah taman perumahan sedia ada menjadi kawasan komuniti persaraan. Ini lebih mudah diusahakan," syor beliau.
Tambah beliau, penduduk, badan amal serta kerajaan negeri dan persekutuan wajar menggalakkan perniagaan dan perkhidmatan untuk warga emas serta golongan lanjut usia berpindah dan beroperasi berhampiran kawasan kediaman terbabit selain mewujudkan sistem kebajikan bagi membantu kumpulan lanjut usia yang mungkin sudah tidak lagi mampu menguruskan sendiri kediaman mereka.
Beliau berkata kemudahan awam berhampiran kawasan perumahan tersebut juga harus mengambil kira keperluan warga emas seperti meletakkan bangku berselang beberapa meter bagi memudahkan golongan tua berehat.
Dr Tan bersetuju dan berkata klinik serta kemudahan penjagaan kesihatan berhampiran wajar membangunkan kepakaran bagi memenuhi keperluan warga emas.
"Ada klinik kesihatan berhampiran namun mereka mungkin tidak tahu bagaimana untuk menyediakan jagaan khusus buat warga emas," kata Dr Tan.
Sementara itu, Ainoriza berkata tumpuan tidak sepatutnya setakat menambah baik akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan dan lain-lain, tetapi harus turut meliputi perkampungan dan unit yang didiami pesara yang kebanyakannya tidak mesra warga emas.
Malah beliau berpandangan Malaysia tidak bersedia untuk menghadapi status negara menua menjelang 2030 sekiranya unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia menjadi kenyataan.
"Ikhlas saya katakan yang kita belum bersedia. Tengok sahaja di sekeliling kita, rata-rata kemudahan tidak direka bentuk secara universal, tidak mesra warga emas," katanya.
Isu lain yang dihadapi oleh penduduk menua ialah ketiadaan simpanan persaraan. Penularan pandemik COVID-19 menyebabkan simpanan persaraan sebahagian ahli masyarakat kini hampir "licin" dengan 6.1 juta pencarum mempunyai baki tidak sampai RM10,000 dalam akaun masing-masing, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagi menangani isu ini, Dr Tan menyarankan agar setiap orang menimbang untuk mendapatkan insurans hayat bertempoh yang lebih kurang sama dengan insurans nyawa namun turut meliputi ketakdayaan atau penyakit.
Tambah beliau, sekalipun Malaysia mungkin tidak dapat menyaksikan kewujudan petempatan umur terhad atau perumahan persaraan dalam masa terdekat, ini tidak bermakna proses penuaan harus berlaku dalam keadaan individu menanggung sakit dan bersendirian.
Kunci kejayaan komuniti aktif di AS ialah ia membenarkan gaya hidup kos rendah yang memaksimumkan interaksi sosial serta menua dalam keadaan selesa.
"Kalaulah kita dapat bangunkan perkhidmatan yang mana golongan ini dapat menua di sebuah tempat, ia sudah tentu hebat.
"Tempat ini boleh dibangunkan dengan konsep perkampungan persaraan yang berkembang," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Thu Jan 12 2023
Dari segi budaya, penekanannya adalah anak-anak menjaga ibu bapa mereka yang telah tua, namun aspek ini sedang mengalami perubahan.-AFP Relax
MOTAC perluas Aspirasi Generasi Pendidikan TVET, pastikan tenaga kerja tempatan dipenuhi
Kerajaan bercadang memperluaskan Program Aspirasi Generasi TVET Sektor Pelancongan bagi membuka peluang kepada lebih ramai graduan tempatan menceburi industri berkenaan.
Salah faham konsep taat antara punca isteri tidak lapor keganasan rumah tangga
Salah faham terhadap konsep taat dikenal pasti antara punca mengapa sebahagian wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Maritim Malaysia rancang perolehan radar baharu guna teknologi AI
Maritim Malaysia merancang untuk memperoleh radar baharu yang akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di kawasan perairan Sarawak dan pantai timur.
KPK yakin sasaran RM28 bilion eksport industri kayu dapat dicapai menjelang 2025
KPK yakin sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 akan dapat dicapai seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030.
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan - Joachim
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Perak berpotensi baik sebagai penyumbang ekonomi negara - Rafizi
Perak mempunyai potensi baik berbanding negeri lain sebagai penyumbang ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
MOTAC promosi makanan tempatan sepanjang Kepengerusian ASEAN
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempromosikan makanan tradisional Malaysia sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 bagi merancakkan industri pelancongan negara.
Tumpuan Selasa – 26 November 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (25 November 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
'Kakak' dan 'adik' sihat...sambut kelahiran 100 hari
Pasangan kembar panda yang dikenali 'Kakak dan 'Adik' yang pertama kali dilahirkan di Hong Kong dikhabarkan membesar dengan sihat dan cergas dibawah jagaan Taman Hidupan Liar wilayah berkenaan. Perkhabaran itu diumumkan Taman Hidupan Liar Ocean Park Hong Kong bersempena dengan sambutan kelahirannya kedua pasangan itu yang kini berusia 100 hari sejak dilahirkan pada 15 Ogos lalu.
Syarat tambahan lesen memandu kepada warga emas? Kerajaan tidak akan terburu-buru - Anthony
Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam meletakkan syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu kepada warga emas.
Warga emas maut dalam kemalangan libat dua kereta
Seorang wanita warga emas maut dalam kemalangan melibatkan dua kereta di KM46, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, semalam.
Warga emas lemas ketika memukat ikan
Seorang warga emas ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan lopak air dalam ladang sawit di Jerangau Barat, Ajil, pagi tadi.
Warga emas Kuala Pilah diberi pendedahan mengenai keselamatan siber
Ia satu pendekatan baik dalam memberi pendedahan kepada warga emas mengenai pentingnya keselamatan siber dan melindungi data peribadi.
Yayasan PEKEMA lancar program Charity BOX, nafas baharu kepada aktiviti kebajikan
Dalam program berkenaan sumbangan berjumlah RM40,900 disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra.
Warga emas rugi RM136,000 terperdaya tawaran perniagaan dalam talian
Seorang lelaki warga emas kerugian RM136,000 setelah terperdaya dengan penipuan perniagaan dalam talian, kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili..
24,000 warga emas di Terengganu disahkan hidap diabetes
Sebanyak 24,000 atau kira-kira 20 peratus daripada 115,000 warga emas di Terengganu disahkan menghidap penyakit diabetes atau kencing manis setakat hari ini.
Warga emas didakwa cederakan rakan
Seorang warga emas lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan rakannya hingga parah.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Selasa, 5 November 2024.
Warga emas 70 tahun rugi lebih RM170,000 ditipu skim pelaburan tidak wujud
Seorang warga emas berusia 70 tahun kerugian RM176,500 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.