KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan FTX Eksesais Paradise 8/2021 di beberapa pangkalan udara di Semenanjung Malaysia bermula Jumaat hingga 2 Nov depan melibatkan sekitar ruang udara digazet sebagai lokasi eksesais.

TUDM dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan sepanjang eksesais, pesawat akan melaksanakan penerbangan rendah pada waktu siang dan malam di beberapa kawasan sekitar ruang udara Semenanjung Malaysia.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat TUDM terbang rendah sepanjang tempoh eksesais," menurut kenyataan itu.

Eksesais berkenaan bertujuan memastikan keupayaan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada di tahap terbaik khususnya dalam melindungi kedaulatan ruang udara negara.

-- BERNAMA