Dalam kejadian sekitar jam 12.20 malam itu, Fahrin Haris Abdullah, 5 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.
Nahas membabitkan kereta jenis Honda Accord dan treler yang membawa muatan tong gas itu turut mengorbankan datuknya, seorang pesara polis, Ibrahim Osman, 58 tahun.
Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Ismail Che Isa berkata, ketika kejadian, kereta mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli sebelum dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.
Pada masa sama, katanya, sebuah treler yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa.
"Pelanggaran menyebabkan seorang kanak-kanak yang duduk di bahagian penumpang hadapan telah tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu kereta turut maut akibat parah di kepala selepas tersepit, sementara pemandu treler berusia 46 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
![Foto ihsan JBPM](http://img.astroawani.com/2019-08/81566611606_freesize.jpg)
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Gerik bagi urusan bedah siasat yang dijalankan pagi ini.
Ketika kejadian, keadaan jalan basah akibat hujan dan gelap kerana ketiadaan lampu jalan.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.