Mangsa yang maut membonceng di bahagian tengah motosikal ditunggang abangnya yang berusia 10 tahun, manakala rakan mereka yang juga berusia 10 tahun, membonceng di bahagian belakang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Baling Supt Azmi Mokhtar berkata kejadian pada 3.30 petang itu dipercayai berlaku ketika van dinaiki tiga lelaki yang merupakan peniaga pasar malam dalam perjalanan menghala ke Kampung Bandar, manakala motosikal dinaiki tiga kanak-kanak terbabit dari Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal terbabit dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang sebelah kiri untuk membelok ke kanan menyebabkan van tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
"Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal melambung dan jatuh ke dalam longkang sebelah kanan jalan manakala adik dan rakannya tersepit di bahagian tayar hadapan van," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa yang berusia tujuh tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala, abangnya cedera di leher dan luka pada badan, manakala rakan mereka patah kaki kanan dan luka pada badan.
Azmi berkata pemandu van berusia 26 tahun mengalami luka pada kaki dan tangan, manakala dua penumpangnya berusia 46 dan 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat manakala dua kanak-kanak yang cedera dihantar ke Hospital Baling," katanya.
Kemalangan itu sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA