JOHOR BAHRU: Seorang pesara mendakwa kerugian lebih RM650,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang disertainya secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh Mahindar Singh berkata lelaki berusia 73 tahun itu menerima satu pautan daripada seorang individu yang menjanjikan pulangan keuntungan 90 peratus daripada modal yang dilaburkan.

Beliau berkata warga emas itu yang tertarik dengan tawaran tersebut telah bersetuju untuk membuat pelaburan sebelum melakukan sembilan transaksi ke lima akaun berbeza yang diberikan dengan modal keseluruhan RM655,109.80, bermula 2 Julai hingga 30 Julai lepas.

"Bagaimanapun, mangsa menyedari telah ditipu apabila tidak berjaya membuat pengeluaran duit keuntungan yang dipaparkan pada pautan yang diberikan dan kemudian dimaklumkan oleh suspek bahawa akaun berkenaan telah pun disekat.

"Mangsa bertindak membuat laporan semalam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan meliputi penglibatan keldai akaun, jika ada. Tindakan akan dikenakan terhadap pemilik akaun terlibat.

-- BERNAMA