KOTA BHARU: Peruntukan RM10.9 juta bagi menyelenggara Lebuhraya Timur-Barat di Kelantan pada tahun ini lebih rendah berbanding keperluan sebenar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli, berkata  perkara itu dimaklumkan semasa sesi taklimat dan mesyuarat bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR), sebelum ini.

Beliau berkata, untuk tahun lepas sejumlah RM16.6 juta dibelanjakan untuk kerja penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

"Lebuhraya Timur-Barat sepanjang 313.71 kilometer (km) bermula di Baling, Kedah sehingga ke Pasir Puteh, Kelantan, sering kali menerima aduan kerosakan jalan daripada pengguna.

"Di Kelantan ia sepanjang 115.27 km. Pihak JKR Kelantan telah mengemukakan laporan terperinci mengenai isu tersebut dan langkah-langkah untuk mengatasinya, terutamanya berkaitan dengan peruntukan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, terdapat juga projek pembinaan lebuh raya yang mengalami kelewatan di Kelantan, antaranya
projek Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai (Pakej 2B), Paloh 2 ke Bukit Sejuk (20 km) dan Bulatan Gua Musang ke Mentara (Pakej 3D) (tujuh km).

"Mesyuarat dimaklumkan bahawa kelewatan ini disebabkan oleh beberapa isu, antaranya ialah proses pengambilan balik tanah yang belum selesai, kenaikan harga bahan binaan dan kekurangan tenaga kerja," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, katanya bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK), tujuh pakej dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM2.7 bilion telah diluluskan dan ia dijangka akan siap sepenuhnya pada 2025.

Selain itu, Mustapa berkata pelaksanaan projek-projek pembangunan utama di Kelantan yang memberi impak besar khususnya kepada rakyat telah mencapai 27.8 peratus setakat Mei lepas dengan sejumlah RM665 juta dibelanjakan daripada peruntukan pembangunan bagi tahun 2022.

"Walaupun perbelanjaan ini lebih rendah berbanding dengan purata nasional iaitu sebanyak 33 peratus, pencapaian ini adalah lebih tinggi berbanding dengan 14% atau RM334 juta yang dicatat pada bulan April 2022, iaitu peningkatan hampir sekali ganda dari segi pencapaian perbelanjaan," tambahnya lagi.

Projek pembangunan utama di Kelantan antaranya adalah pembinaan Lebuh Raya Central Spine Road (CSR), pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu- Kuala Krai (KBKK), pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, dan pembangunan infrastruktur sukan di seluruh negeri Kelantan bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2026.