PUTRAJAYA: Peruntukan RM58.7 bilion yang merupakan peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024 membuktikan aspek pendidikan terus diberi keutamaan bagi memastikan hasrat membina Malaysia MADANI berdaya maju dan mampu bersaing di peringkat global tercapai, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan sejumlah RM2.5 bilion diperuntukkan untuk pembinaan 26 sekolah baharu termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Sabah; SMK Baie, Sarawak; SMK Seri Melati, Pahang; SMK Bandar Universiti, Perak; dan SMK Binjai, Kelantan, manakala RM82 juta disediakan untuk pembinaan 26 bangunan baharu prasekolah.

"KPM menggalas amanah besar untuk memastikan peruntukan yang diberi dalam Belanjawan 2024 dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan memberi impak kepada pembangunan pendidikan negara," menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat semalam, berkata pendidikan kekal sebagai komponen utama yang menerima peruntukan dalam perancangan belanjawan negara dengan KPM diperuntukan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion pada tahun ini.

Menurut KPM lagi sebanyak RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara, iaitu RM930 juta untuk kerja-kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif melibatkan 450 sekolah termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

"Sebanyak RM1 bilion pula untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Pendidikan Khas dengan tumpuan diberi kepada keperluan murid autisme," menurut kenyataan itu.

KPM memaklumkan kerajaan turut memperuntukkan RM220 juta bagi pembangunan dua institusi Pendidikan Islam baharu termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol, Negeri Sembilan di bawah KPM.

Belanjawan 2024 turut memberi perhatian kepada bantuan persekolahan murid seperti meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) kepada RM2,589 berbanding RM1,500 sebelum ini.

"Bagi memastikan anak-anak keluarga miskin tidak tercicir daripada pendidikan, pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) turut diperluaskan kepada murid hingga Tingkatan 3 berbanding hingga Tingkatan 1 sebelum ini yang memberi manfaat kepada satu juta murid dengan peruntukan RM150 juta," menurut KPM

Menurut KPM RM100 juta disediakan untuk pemerkasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) khusus untuk tujuan menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah serta perolehan peralatan baharu untuk pembelajaran STEM.

Belanjawan 2024 turut mengambil kira infrastruktur dan peralatan sokongan murid berkeperluan khas (MBPK) melibatkan peruntukan RM180 juta untuk pembinaan 18 blok baharu pendidikan khas.

Ini termasuk SMK Kubang Rotan, Kedah; Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Perda, Pulau Pinang; dan SMK Dato' Ali Ahmad, Perlis.

Menurut kenyataan itu RM30 juta disediakan untuk membekalkan peralatan sokongan pendidikan khas dan menyediakan kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) di sekolah dan RM100 juta turut disediakan bagi melaksanakan pendekatan holistik melibatkan semua pihak dalam membantu murid yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

"KPM juga menyambut baik inisiatif kerajaan menyediakan sejumlah RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk kuarters guru. KPM turut akan memberi penekanan kepada penerapan Karamah Insaniah dalam kalangan murid sekolah," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA