KUALA LUMPUR: Persefahaman antara Malaysia dan Indonesia adalah kunci penting bagi membolehkan Bahasa Melayu dapat diangkat sebagai bahasa ASEAN.

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim berkata Wisma Putra perlu memainkan peranan dalam mencari jalan khusus bagi menghubungkan matlamat Malaysia dengan negara jiran.

"Tentang Indonesia, Malaysia tidak boleh ambil ringan sebabnya ini adalah sekutu dalam perjuangan yang lebih besar," katanya pada Sidang Meja Bulat Wakil-Wakil ASEAN untuk Pengembangan Bahasa Melayu di Institut Pengajian Tinggi (IPT) Negara-Negara ASEAN di sini semalam.

Beliau turut mencadangkan Perkara 34 Piagam ASEAN yang menyatakan bahawa penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kerja ASEAN dipinda dengan penambahan penggunaan Bahasa Melayu.

"Kita mesti lakukan menerusi Wisma Putra dan diplomasi ASEAN untuk memindanya...tetapi kalau Bahasa Melayu sahaja Indonesia mungkin tidak bersetuju dan (sebab) itulah kita perlu runding.

"Yang penting sekarang (adalah) memasukkan idea pemikiran Bahasa Melayu-Bahasa Indonesia itu dalam (Piagam ASEAN)," katanya.

Rais turut mencadangkan beberapa inisiatif jangka masa pendek dan panjang dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu antaranya dengan memperkaya seni karya tempatan, pengajian dunia Melayu serta meningkatkan tenaga pengajar Bahasa Melayu di IPT luar negara.

Sidang Meja Bulat yang dianjurkan oleh Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pejabat Perdana Menteri dan Dewan Bahasa dan Pustaka diadakan bersempena dengan penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang sedang berlangsung sehingga 24 Mei ini.

Simposium itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

-- BERNAMA