KUALA LUMPUR: Bagi membolehkan generasi muda bersaing dalam ekonomi global, sistem pendidikan negara perlu membuat pelarasan yang diperlukan dalam kadar yang pantas.


Ringkasan AI
  • Sistem pendidikan negara perlu diselaraskan dengan cepat agar generasi muda dapat bersaing dalam ekonomi global. Anwar menekankan perlunya fokus pada kejuruteraan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta kecerdasan buatan (AI) untuk menggantikan pendekatan akademik tradisional yang mungkin tidak lagi relevan.
  • Keperluan untuk meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris seiring dengan bahasa Melayu adalah penting. Ini disebabkan oleh kekurangan Malaysia dalam bidang seperti semikonduktor, di mana terdapat permintaan tinggi untuk jurutera dan pekerja berkemahiran tinggi, yang syarikat luar seperti dari Amerika Syarikat terlibat dalam melatih dan memperkenalkan teknologi baru.
  • Malaysia, dengan Anwar sebagai Perdana Menteri, akan memberi tumpuan kepada dasar digital ASEAN, terutamanya dalam perdagangan digital melalui Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA). Langkah ini akan memastikan ketersambungan dan pemahaman digital di seluruh rantau ASEAN, dengan usaha untuk memulakan program penting sebaik sahaja memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan untuk memberi penekanan kepada kejuruteraan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) bermakna proses akademik biasa tidak boleh digunakan lagi.

"Sebagai contoh, universiti terbaik sekali pun perlu mengambil sedikit masa dalam memperkenalkan disiplin baharu, kerana mereka mempunyai banyak peringkat seperti jabatan, fakulti, lembaga pengarah, senat... sebelum kelulusan akhir boleh dibuat.

"Jika anda melalui proses itu dengan (cabaran) AI, maka anda akan kehilangan masa. Perkara ini perlu berubah dengan cepat.

"Kita bernasib baik apabila baru-baru ini UTM memulakan fakulti AI, mereka dapat melakukannya dalam empat bulan, yang merupakan satu rekod.

"Bermakna orang kita, jika ada dasar yang jelas, boleh mengadaptasi dan membuat pelarasan," katanya dalam sesi soal jawab pada Mesyuarat Agung Tahunan American Malaysian Chamber Of Commerce (AMCHAM Malaysia), pada Selasa.

Dalam masa yang sama, kata Anwar, ketika penekanan diberi kepada bahasa Melayu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris.

Ini kerana Malaysia kekurangan 30,000 jurutera dan pekerjaan dalam bidang berkemahiran tinggi seperti semikonduktor, sedangkan banyak syarikat luar terutama Amerika Syarikat yang terlibat secara terus dengan latihan serta perancangan dalam pengenalan disiplin baharu dan mendapatkan tenaga mahir.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan salah satu keutamaan Malaysia selepas mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan ialah dasar digital yang merangkumi seluruh ASEAN, khususnya dalam perdagangan digital membabitkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).

Jelasnya, perbincangan awal telah dilakukan di Jakarta awal tahun ini dan dasar awal sudah pun dalam perangkaan.

"Kita perlu melakukannya dengan pantas, mesyuarat itu baru semalam tetapi saya faham kebimbangan anda, jika anda mempunyai pandangan, boleh bawa ke atas.

"Memang menjadi salah satu keutamaan kita untuk ASEAN tahun depan, apabila kita menyambung kepimpinan, salah satu program utama yang kita ingin mulakan sudah tentu, pemahaman digital dan ketersambungan di seluruh rantau ini, khususnya ASEAN," katanya.