KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang melakukan rompakan di sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, berjaya diberkas dalam tempoh 12 jam selepas kejadian.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, suspek, 32, yang dipercayai seorang lelaki tempatan, telah menggunakan sepucuk pistol ketika melakukan rompakan jam 4.56 petang, pada Sabtu.

"Suspek melarikan tujuh dulang barang kemas yang dipamerkan sebelum melarikan diri menaiki sebuah kereta yang menunggu di luar pasar raya dengan kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta. 

"Hasil risikan dan maklumat, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berjaya menahan suspek sekitar jam 10.15 malam pada hari yang sama di Bukit Beruntung, Hulu Selangor," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Hussein berkata, polis turut berjaya menemui semula barang kemas yang dilarikan serta mengenal pasti rakan suspek dalam kejadian tersebut.

Jelasnya, suspek kini ditahan di IPD Petaling Jaya bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melakukan rompakan menggunakan senjata api. 

Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini agar tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau Pegawai Penyiasat ASP Farokh Faisal Ahmad di talian 017-7762991.