SEMPORNA: Mungkin bagi sesetengah orang, penggunaan kereta sorong tidak besar nilainya.

Tetapi situasi itu berbeza di Jeti Balimbang di Pulau Bum-Bum, di sini. 

Sebaik tiba di jeti berkenaan, sekumpulan pemuda bersama kereta sorong sedia menanti penumpang yang datang dari tanah besar.

Inilah perkhidmatan 'budak kereta sorong' yang menjadi nadi dan pelengkap di Jeti Balimbang.

Kru Astro AWANI, Hasimi Muhamad dan jurukamera, AB Uzza AB Latif menaiki bot penampang dari Jeti Umum Semporna ke Pulau Bum-Bum.

Perjalanan kami ke pulau yang terbesar di Semporna itu mengambil masa kira-kira 15 minit.

Jeti Balimbang merupakan pintu masuk utama ke Pulau Bum-Bum yang dihuni sekitar 40,000 penduduk.

Difahamkan, perkhidmatan kereta sorong ini popular dengan panggilan karitun dalam kalangan penduduk beroperasi di Pulau Bum-Bum sejak lebih puluhan tahun lalu.

Bagi penyorong kereta sorong, Mohd Izwan Mohamad, 21, dia menjalankan pekerjaan tersebut sejak dua tahun lalu bagi menyara keluarga.

Katanya, setakat ini terdapat 28 penyedia kereta sorong di jeti berkenaan, dengan sekurang-kurangnya 10 orang bertugas pada satu-satu masa.

Bermodalkan RM150, anak ketujuh daripada lapan adik beradik ini memulakan rutin hariannya seawal jam 6 pagi.

Dia menyorong barangan pelanggan sejauh 100 meter, sebelum penduduk meneruskan perjalanan menuju ke kampung masing-masing menaiki kereta sewa.

"Satu hari boleh dapat RM120... kalau banyak barang macam hari perayaan, boleh cecah sehingga RM200.

"(Selain barang keperluan), kadang-kadang orang sakit pun kami bawa. Orang yang tak boleh jalan, kami bawa. Mereka turun bas (dari kampung), kami bawa terus ke jeti.

"Bayaran (angkut orang sakit) ikhlas ikut mereka bagi macam mana.. Kami ambil sahaja," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

.

Berkongsi lagi pengalamannya, Mohd Izwan berkata dia dan rakan-rakan terima sahaja bayaran yang diberikan pelanggan tanpa tawar-menawar.

Bayaran serendah RM1 pun rezeki bagi mereka.

Kata Mohd Izwan lagi, dia pernah menolak simen seberat 50 kilogram (kg) dengan bayaran RM3 untuk seguni.

"Masa COVID-19 dulu sengsara sikit... Kadang-kadang dapat RM30 sahaja sehari. (Sekarang pendapatan cukup?) Cukup-cukup lah untuk makan," ujarnya yang sudah mendirikan rumah tangga.

.

Seorang lagi penyorong kereta sorong, Kimal Roli, 21, memberitahu perkhidmatan itu sangat diperlukan oleh penumpang bot khususnya warga tua.

Kedudukan pelantar dengan kawasan hentian kereta sewa yang agak jauh mungkin memenatkan bagi penumpang yang membawa banyak barangan.

.

Walaupun kadang kala terpaksa mengangkut barangan yang berat, tetapi tugas tersebut bagi Kimal sangat menyeronokkan.

"Kelebihan di sini (bekerja di Pulau Bum-Bum) memang bagus, yang pertamanya banyak kawan. Sebelum ada kereta sorong ini, mereka angkat sendiri barang.

"Dari sana (pelantar jeti) hantar pergi ke stesen bas dam bayaran (dapat) RM2 atau RM3. Kalau banyak barang, banyak mereka bagi, kalau sikit, sikit je lah," ujarnya yang sudah enam tahun bekerja.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), seramai 72,169 pengundi berdaftar layak menjalankan tanggungjawab pada 19 November ini.

Kerusi Parlimen Semporna menyaksikan saingan empat penjuru melibatkan penyandangnya,  Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mewakili Parti Warisan (Warisan), Arastam Pandorog mewakili Pakatan Harapan (PH),  Nixon Abdul Habi daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Ab Razik @ Ab Rajak Hamid daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).