KUALA LUMPUR: Pernah berdepan serangan jantung yang hampir meragut nyawa apabila pembuluh darah jantungnya tersumbat lebih 90 peratus, Airulmi Mokhtar bangkit melawan penyakit itu apabila melakukan maraton penuh (42 kilometer) pada acara Tokyo Marathon 2023, Ahad lepas.
Pada acara yang merupakan antara enam kejohanan maraton bertaraf dunia dan diiktiraf oleh Abbot World Marathon Majors itu, Airulmi, 46, berjaya menamatkan larian dalam cuaca sejuk, lapan darjah (Celsius) dengan catatan masa enam jam 13 minit.
Berkongsi kepada Bernama kisahnya itu, Airulmi berkata beliau terpilih mengambil bahagian dalam kejohanan itu yang sepatutnya berlangsung pada Mac 2020, selepas pendaftarannya yang dilakukan secara undi melibatkan pelari dari serata dunia, berjaya diterima.
Namun, impian beliau untuk berlari ketika itu tidak kesampaian kerana pandemik COVID-19 melanda menyebabkan pihak penganjur membatalkan acara itu dan penyertaannya telah dibawa ke acara sama tahun ini.
"Awalnya saya tidak menyangka nama saya terpilih kerana itu impian lama saya untuk berlari di satu daripada acara maraton paling sukar disebabkan permintaan penyertaan yang tinggi. Jadi, ketika itu keadaan saya masih sihat dan bersemangat serta sentiasa melakukan latihan larian seperti biasa.
"Tiba-tiba, dua minggu sebelum bermula acara, penganjur umum ia dibatalkan kerana COVID-19. Kecewa saya kerana segala persiapan telah dibuat termasuk latihan, tiket penerbangan dan penginapan di Tokyo telah ditempah," katanya.
Bagaimanapun, Airulmi yang berasal dari Johor Bahru berkata perancangan tuhan itu lebih mengetahui apabila selang seminggu dari tarikh acara maraton yang dibatalkan itu, beliau terkena serangan jantung sebanyak dua kali semasa melakukan aktiviti larian.
"Pada hari Ahad, kali pertama ketika saya melakukan recovery run, tiba-tiba sesak nafas dan hampir terjatuh. Masa itu saya tak pasti ada sakit jantung, ingatkan asma jadi saya pergi klinik ambil rawatan nebulizer.
"Hari Isnin selepas solat isyak saya cuba lagi sekali berlari kerana tidak puas hati apa masalah saya semalam dan kali kedua ia berlaku saya hampir pitam. Keesokkannya saya ke hospital buat pemeriksaan, akhirnya doktor mengesahkan pembuluh darah jantung saya tersumbat," katanya.
Bapa kepada dua anak itu berkata beliau bersyukur kerana penyumbatan itu bukan 100 peratus dan beliau dinasihatkan doktor hanya perlu melakukan prosedur memasang stent berbanding pembedahan.
"Bayangkan kalau saya pergi dan ditakdirkan Tokyo Maraton berlangsung pada Mac 2020 itu, mungkin situasi yang jauh lebih teruk kepada saya terjadi. Pada masa sama, saya juga hampir putus harapan, apakah saya mampu lagi menyertai larian jarak jauh selepas ini?
"Sebaliknya, selepas mengikuti pemulihan kardiologi, diet, pengambilan ubat dan mengikuti latihan larian yang sesuai, alhamdulillah saya kembali boleh berlari seperti dulu," katanya yang pernah juga menyertai acara maraton antarabangsa lain seperti Gold Label, Singapore Marathon 2018 dan Chiang Mai Marathon 2017.
Ditanya punca beliau terkena serangan jantung, Ketua Pembangunan Perniagaan di sebuah GLC (syarikat berkaitan kerajaan) itu berkata senario itu berkemungkinan berlaku kerana gaya hidup dahulunya yang pernah merokok, obes sehingga berat 105 kilogram selain stres sebelum berubah mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif berlari sejak 2016.
Sementara itu, Pakar Perubatan dan Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Ara Damansara Dr Zubin Othman Ibrahim berkata peluang untuk seseorang pesakit jantung untuk kembali aktif dan normal adalah tinggi, bergantung kepada rawatan awal dan tidak berlaku kerosakan yang serius pada jantung.
"Yang paling kita tidak mahu pesakit yang telah menerima rawatan dan mengikuti pemulihan, tetapi selepas itu dia tidak berbuat apa-apa senaman jadi kemungkinan timbul masalah penyakit lain pula seperti obesiti dan darah tinggi.
"Sebaliknya dengan bersenam ia akan menambah baik jantung dan peparu kita," katanya yang turut mengesyorkan supaya individu berusia 35 tahun ke atas melakukan saringan kesihatan awal walaupun aktif dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kerana selain faktor pemakanan, serangan jantung juga boleh berlaku disebabkan genetik.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Mar 12 2023

Pelari maraton, Airulmi Mokhtar mengibarkan Jalur Gemilang selepas berjaya menamatkan maraton penuh (42 kilometer) sempena Tokyo Marathon 2023. - Foto BERNAMA
Pantau Agenda Reformasi: Memahami di sebalik penyakit kusta
Situasi di sebalik kes wabak kusta di Negeri Sembilan. Adakah orang ramai perlu panik? Bagaimana nak address situasi ini? Kemampuan sistem kesihatan Malaysia mengawal wabak kusta.

Zon khas waktu solat daerah Rompin diperkenal 1 Mac - Mufti
Zon Khas Waktu Solat untuk daerah Rompin akan diperkenalkan mulai 1 Mac ini seperti diputuskan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Pahang yang bersidang 19 Feb lepas.
UMNO yakin BN dapat mentadbir semula
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan bahawa sama ada parti tempatan atau tidak, itu tidak seharusnya menjadi pengukur di dalam Pilihan Raya Negeri SABAH akan datang.
Sistem Pengurusan Trafik Vesel akan dilaksana di Sungai Miri
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lim Kim Shin memberitahu Sistem Pengurusan Trafik Vesel (VTMS) yang moden bakal dilaksanakan di Sungai Miri.
Sarawak guna AI mantapkan mobiliti trafik
Sarawak menerusi kementerian pengangkutannya kini melaksanakan pelbagai inisiatif berteknologi tinggi bagi memantapkan mobiliti trafik khasnya di kawasan bandar.
Sistem digital agtech diperkenal di Sarawak - Wilson Ugak
Lima sistem pertanian digital berteraskan kecerdasan buatan (AI) bernilai RM150,000 akan diperkenalkan untuk manfaat sektor akuakultur di Sarawak tahun ini.
Sarawak cadang tambah dua PUSPEN
Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bercadang untuk menambah dua pusat pemulihan narkotik (PUSPEN) di Sarawak.

Kes cabul di masjid: Polis siasat dakwaan suspek miliki kad OKU
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek baru sahaja ditahan dan pihaknya masih menyiasat kesahihan dakwaan terbabit.
ASEAN 2025 | 21 Feb
Perkembangan ASEAN 2025 setiap jam 6 petang, membawa berita terkini dari negara-negara ASEAN termasuk ekonomi, kemajuan teknologi, dan budaya di rantau ini.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.
Informasi lengkap mengenai kerjasama serantau, inisiatif pembangunan, serta pencapaian negara-negara ASEAN dalam membentuk masa depan yang lebih mampan dan dinamik.

Polis tumpas sindiket proses vape berisi dadah
Kegiatan memproses vape dicampur dengan dadah jenis methamphetamine sejak enam bulan lalu terbongkar dengan penangkapan seorang wanita di Selangor.

Pernah terkena dua serangan jantung, Airulmi berjaya tamatkan Tokyo Marathon
Airulmi berjaya menamatkan larian dalam cuaca sejuk, lapan darjah (Celsius) dengan catatan masa enam jam 13 minit.