PUTRAJAYA: Majikan yang layak boleh mengemukakan permohonan pelanjutan tempoh surat Visa Dengan Rujukan (VDR) bagi pekerja asing (pelbagai sektor) bemula 15 Feb hingga 30 Sept ini.

Menurut notis makluman Bahagian Pekerja Asing Jabatan Imigresen, kelayakan melibatkan majikan yang telah dikeluarkan surat VDR pada 1 Nov 2019 hingga 31 Dis 2020, atau majikan yang telah membuat bayaran VDR pada 1 Nov 2019 hingga 31 Dis 2020 tetapi surat VDR belum dicetak.

Menurut notis itu, syaratnya adalah majikan telah mendapat pelanjutan surat kelulusan bersyarat penggajian pekerja asing di Pusat Kelulusan Setempat (OSC) Kementerian Dalam Negeri.

Majikan juga perlu mengemukakan laporan pemeriksaan kesihatan (bioperubatan) yang masih sah laku, insurans termasuk perlindungan COVID-19 dan Skim Perlindungan Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) baharu kecuali sektor peladangan.

Majikan atau wakil majikan juga perlu hadir ke ibu pejabat imigresen di Putrajaya atau pejabat imigresen negeri mengikut alamat majikan dengan mengemukakan dokumen yang diperlukan.

Notis itu menyatakan tempoh lanjutan surat VDR yang diberikan adalah selama empat bulan dari tarikh surat dikeluarkan.

"Majikan tidak perlu memohon MyTravelPass bagi pekerja asing yang dikeluarkan surat VDR baharu atau lanjutan," menurut notis itu.

-- BERNAMA