SEOUL: Sekurang-kurangnya 22 individu maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kilang pembuatan bateri utama di selatan Seoul, terbakar pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Sebuah kilang pembuatan bateri utama di selatan Seoul, Korea Selatan, terbakar pada Isnin, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang maut dan tiga lagi cedera.
  • Lapan daripada mangsa yang terkorban disahkan pekerja warga China, manakala seorang lagi rakyat Laos. Identiti lain-lain mangsa masih belum dikenal pasti memandangkan keadaan mayat yang sudah rentung.
  • Bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran kerana bateri litium yang terbakar sukar dikendalikan dengan kaedah pemadam kebakaran konvensional. Api merebak dengan cepat kerana sel bateri meletup secara berterusan. Sekurang-kurangnya 35,000 bateri dipercayai berada di dalam kilang itu.


Jurucakap Bomba dan Penyelamat, Kim Jin-young berkata, lapan daripada mangsa yang terkorban disahkan pekerja warga China, manakala seorang lagi rakyat Laos.

Identiti lain-lain mangsa, katanya, masih belum dikenal pasti. 

"Kita mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti identiti mangsa memandangkan keadaan mayat yang sudah rentung," katanya pada Isnin.

Kebakaran bermula di kilang pengeluar bateri litium Aricell di Hwaseong, kira-kira 45 kilometer (km) di selatan Seoul, sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Kebakaran dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi.

Pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran sepenuhnya kerana bateri litium yang terbakar sukar dikendalikan dengan kaedah pemadam kebakaran konvensional.

Balai bomba menyatakan bahawa api merebak dengan cepat kerana sel bateri di dalamnya meletup secara berterusan, menyukarkan operasi mencari dan menyelamat di dalam kilang.

Sekurang-kurangnya 35,000 bateri dipercayai berada di dalam kilang itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min meminta pihak berkuasa tempatan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelak bahan kima daripada kilang itu mencemari kawasan sekeliling.