KUALA LUMPUR: Bermula dengan memuat naik video tutorial penggayaan tudung di media sosial, seorang suri rumah tidak menyangka aktiviti sekadar suka-suka itu membuka jalan baginya membina kerjaya sebagai jurugaya tudung, sekali gus menjana pendapatan lumayan.
Mengimbau kembali awal pembabitan pada hujung 2022, Nursalihah Ahmad Azman Saha, 34, berkata dia mula menerima permintaan untuk mendandan pelanggan apabila pengikut di media sosial yakin dengan bakat dan kemahirannya yang dikongsi di platform tersebut.
"Orang mula bertanya dan meminta sekiranya saya berminat mendandan orang lain, jadi saya fikir tak salah cuba dan menggunakan bakat serta kemahiran yang ada.
Dalam percubaan pertama, saya tidak terus mendandan pengantin sebaliknya ibu kepada pengantin, kemudian saya terlibat menggayakan model untuk sesi penggambaran beberapa jenama fesyen dan kosmetik bagi mengasah lagi kemahiran," katanya kepada Bernama.
Ibu kepada sepasang cahaya mata itu kini menumpukan kepada perkhidmatan menggayakan pengantin dengan harga antara RM500 ke RM700 dan berpendapat setiap penggaya hijab perlu sentiasa peka terhadap trend terkini termasuk dari luar negara, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang mempunyai cita rasa berbeza.
"Pelbagai gaya dan lilitan menggunakan selendang dan bawal menjadi pilihan, dan fesyen tudung Turki antara yang mendapat permintaan paling tinggi, namun saya perlu sentiasa bersedia sekiranya ada permintaan gaya yang tidak pernah dibuat," katanya yang juga menerima permintaan sehingga ke Singapura dan Brunei namun belum berpeluang dipenuhi kerana kekangan masa.
Lulusan sijil seni bina dari Politeknik Ungku Omar Ipoh itu mahu memperkenalkan lebih banyak fesyen tudung pengantin pada masa akan datang menggunakan pelbagai jenis fabrik dan tudung.
Kerjaya jurugaya tudung turut menjadi nilai tambah buat Siti Nurliyana A Rahim, 30, yang mendapat latihan tatarias dan bernaung di bawah PIZZASCARF Academy, bagi menjana pendapatan tambahan pada hujung minggu.
Penjawat awam itu berkata kebanyakan bakal ratu sehari kini mementingkan kesempurnaan penampilan bukan sahaja dari segi solekan dan pakaian, sebaliknya turut menekankan kekemasan tudung yang menjadi antara kunci utama menyuntik keyakinan diri.
Katanya, berbanding mengharapkan jurusolek yang bertanggungjawab mendandan wajah yang memakan masa lama, bantuan jurugaya tudung yang hanya menumpukan pada satu aspek sahaja, mampu menghasilkan kemasan tudung yang lebih cantik, kemas dan teliti.
"Dengan harga RM499, saya bukan sahaja memakaikan tudung tetapi juga memberi khidmat nasihat tentang kesesuaian gaya tudung dengan pengantin termasuk warna, material, fesyen pakaian, bentuk muka dan sebagainya.
"Pengantin akan dilayan seperti permaisuri pada hari bahagia mereka. Saya akan lakukan semua termasuk membasuh dan seterika, mereka hanya perlu 'menadah muka' dan tunggu disiapkan," katanya yang mengambil masa sekitar 15 ke 20 minit untuk menyiapkan pengantin.
Berpengalaman lebih tiga tahun dalam bidang tersebut, Siti Nurliyana pernah mendandan selebriti terkenal Wany Hasrita dan Sarah Suhairi selain memasang impian untuk menghias Raja Permaisuri Agong dan individu terkenal lain sekiranya diberi peluang.
Sementara itu, pengasas tudung PIZZASCARF Anis Suraya Zulkifly, 31, berkata sejak mewujudkan program konsultasi hijab pada 2018, jenama itu telah melahirkan lebih 100 penggaya menggunakan jenama tudung tersebut di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Anis Suraya berkata ejen tudung itu yang terdiri daripada golongan profesional termasuk ahli fisioterapi dan ahli farmasi, akan diberi latihan selama dua hari dan kemudiannya kemahiran mereka dinilai menerusi hasil kerja, maklum balas pelanggan dan libat urus media sosial.
Katanya kemahiran penggaya terbahagi kepada lima peringkat berdasarkan kemahiran merias, bermula peringkat junior yang melayakkan penggaya menerima bayaran sebanyak RM99, primer (RM199), pro (RM 299), pro max (RM399) dan master (RM499).
"Dari peringkat junior ke primer misalnya, penggaya perlu menggayakan sekurang-kurangnya 15 pengantin," katanya yang mewujudkan program latihan penggayaan tudung bagi membuka ruang kepada wanita daripada pelbagai golongan menjana pendapatan.
--BERNAMA
Bernama
Sun Feb 25 2024

Nursalihah teliti ketika menyiapkan gaya tudung pengantin, Haslinda Darlis, 25 ketika sesi temuramah baru-baru ini. - Gambar/ Bernama

Memorandum Jemaah Menteri akan dibentang berkaitan program undang-undang di Sabah, Sarawak
Menteri Pendidikan Tinggi akan membentangkan satu memorandum Jemaah Menteri bagi membolehkan penawaran program undang-undang sebagai bidang fakulti yang baharu di Sabah dan Sarawak.

Cuepacs mohon kerajaan pertimbang beri bantuan khas kewangan Aidilfitri
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada penjawat awam.

PM Anwar arah KKDW segerakan, pantau rapi projek infrastruktur asas rakyat
Perdana Menteri mengarahkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah supaya menyegerakan projek-projek infrastruktur asas yang melibatkan kepentingan rakyat.

Chong Wei sedia kongsi komitmen sebagai duta sukan Johor
Datuk Lee Chong Wei bersedia memikul tanggungjawab sebagai penasihat badminton dan duta sukan Johor seperti diumum Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tiada bukti kaitkan bekas pakar patologi dengan pembunuhan Kevin Morais - Peguam
Mahkamah Persekutuan diberitahu tiada bukti yang mengaitkan Kolonel Dr R. Kunaseegaran dengan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais.

Pemastautin sementara dalang palsu MyKad - Saifuddin
Seorang pemastautin sementara dipenjara kerana didapati menjadi dalang aktiviti pemalsuan kad pengenalan (MyKad) di ibu negara.
Vietnam seru negara anggota perkukuh ekonomi
ASEAN perlu memastikan kebergantungan strategik dan keupayaan menyesuaikan diri dalam menghadapi cabaran yang semakin berkembang pesat di tengah persaingan strategik.
Vietnam cadang lanjut cuti bersalin ke 7 bulan
Vietnam bercadang membenarkan pekerja wanita melanjutkan cuti bersalin daripada enam bulan kepada tujuh bulan apabila melahirkan anak kedua.
VinFast rancang bina 100,000 stesen pengecas EV di Indonesia
VinFast merancang membina 100,000 stesen pengecas kenderaan elektrik atau EV di seluruh Indonesia yang boleh digunakan orang awam.
Singapura-Vietnam bentuk perkongsian strategik komprehensif
Perkongsian strategik komprehensif ini akan memacu perkembangan didorong oleh inovasi serta pertumbuhan hijau di Singapura dan Vietnam.

Permintaan tinggi khidmat jurugaya tudung, buka peluang kerjaya baharu
Nursalihah Ahmad berkata dia mula menerima permintaan untuk mendandan pelanggan apabila pengikut di media sosial yakin dengan bakat dan kemahirannya yang dikongsi di platform tersebut.