SAYA pernah menulis mengenai kisah seorang pelarian Rohingya, asalnya dari Myanmar, melarikan diri ke Malaysia, kini hidup berkeluarga di Kanada.
Sungguh, kisah Saiful Rohin, benar-benar melambangkan fasa seorang pemegang status pelarian.
Ada derita nestapa juga ranjau terpaksa diharungi di negara halaman sendiri.
Begitu banyak harus berkorban untuk berlindung memegang baik status pelarian di negara jiran, Malaysia selepas menyelamatkan diri menyambung denyut nadi.
Tetapi, kemudiannya hadir kesyukuran, hidup boleh berubah di sebuah negara ketiga Kanada dan tumbuh harapan untuk menjalar kebaikan diterima selama ini.
Kini, Saiful seorang graduan bidang kewartawanan dan berharap dapat menyebarluas ilmu pengetahuannya tentang yang jujur sahaja mengenai pelarian, kebenaran tentang Rohingya dan kuatnya jentera perubahan untuk memperbaiki kehidupan.
Cerita Saiful adalah cerita ria di celah-celah bab duka yang banyak kita dengar serta hadam tentang pelarian, yang ada di dunia ini.
"Jadi pelarian, beginilah, kalau tidak dihina fizikal, dicaci, ditolak secara psikologi. Tiap-tiap hari terasa seperti ingin mati," kata seorang pelarian, Ahmed, warga Iran yang saya kenali kemudian menjadi kawan kerana berkongsi beberapa persamaan pandangan tentang nasib pelarian global.
Ahmed, sudah berada di Malaysia sejak lima tahun lalu, masih belum dapat pulang ke Iran kerana beberapa perkara yang ada kaitan dengan fahaman politik.
"Jadi pelarian begitulah, persepsi tidak pernah berubah, ditempel melekat individu tiada harapan, putus asa dengan hidup, sedangkan banyak gembira menanti jika segera bangkit sebelum terlena,'' ujar seorang ilmuwan, profesor bidang Antropologi yang saya petik kenyataannya bagi dimuatkan dalam tesis kajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) saya pada 2019.
Profesor wanita ini diserang bertubi-tubi di media sosial kerana tulisannya condong membela pelarian, sedangkan ketika itu xenophobia ke atas kumpulan pelarian marak berapi-api saat COVID-19 galak menambah angka kematian dan kes jangkitan.
Saya juga masih ingat satu temu bual bersama seorang pelarian yang juga seorang penulis berasal dari Uganda, Alibhai Brown pada 2005, yang mengakui bahawa “one refugee with no hope is too many”.
Namun, antara lain katanya, ia disumbang kepada persepsi terhadap kelompok itu sendiri.
Hakikatnya, tambah beliau, pelarian itu tiada pilihan selain terpaksa menjadi sedemikian, berbanding dengan pendatang yang boleh menolak untuk menjadi sebegitu.
Semua pandangan yang dikumpulkan itu, saya simpul dan kaitkannya dengan sejarah pelarian itu sendiri.
Sejarahnya pelarian, ia adalah masalah sejagat. Namakan negara mana di dunia ini, hampir kesemuanya mempunyai pelarian, melindungi golongan ini penuh kemanusiaan.
Dengan atmosfera serta landskap dunia yang cenderung untuk lebih berkonflik dan bukannya mementingkan kemanusiaan, bilangan pelarian hari ke hari tidak mustahil jadi momok, terus meningkat dan mereka hidup secara diaspora.
Pada abad ini sekali pun, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, kembalinya Taliban di tampuk kuasa Afghanistan, ini landskap yang memberi ruang lebih ramai manusia jadi pelarian.
Matematiknya mudah, apabila ada pelarian, bermakna ada sebab menyumbang kepada tindakan mereka itu.
Campur tolaknya pula, akan ada negara, lokasi mereka ini melarikan diri, tempat mereka berlindung. Dan, rantaiannya pula, akan ada masalah jika mana-mana negara menerima kumpulan pelarian.
Malaysia antara negara paling ramai dikunjungi pelarian disebabkan faktor agama, kestabilan politik dan penyumbang ekonomi lebih baik.
Sehingga ada yang mengaitkan bahawa Malaysia adalah lubuk tempat kelip-kelip datang pada malam hari yang gelap.
Sejarahnya juga, kita tidak perlu lupa kepada isu pelarian Vietnam ‘orang bot’ atau orang hanyut yang mendarat dengan begitu ramai di negara ini, mencari perlindungan daripada pemerintahan Komunis sebaik berakhirnya Perang Vietnam pada April 1975.
Kira-kira 250,000 pelarian Vietnam diproses di khemah pelarian di Pulau Bidong di Terengganu sebelum kebanyakan mereka diterima negara ketiga termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Perancis, New Zealand dan Sweden.
Selepas itu, kira-kira 9,000 pelarian Vietnam kembali ke negara asal dengan bantuan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Namun, selepas khemah Pulau Bidong ditutup pada Oktober 1991 sekali pun, Malaysia masih menjadi tumpuan serta tempat perlindungan untuk pelarian dari beberapa negara lain khususnya dari Myanmar sehingga ke hari ini.
Data terbaharu UNHCR menyebut, Myanmar menjadi negara paling ramai pelariannya, hampir 200,000 orang, berada di Malaysia, diikuti Indonesia dan Filipina.
Apa pengajaran daripada sejarah isu pelarian orang bot dan pelarian Myanmar yang ramai ini?
Ya, mereka manusia yang malang, mengharapkan bantuan dan ihsan manusia lain untuk membolehkan mereka membina hidup sebelum pulang ke negara asal bagi berbakti kepada pertiwi pula.
Persoalannya pula, jika begitu banyak pengorbanan yang diperlukan untuk membantu mereka yang memegang status pelarian ini, tidak adakah usaha atau cara yang boleh kita lakukan kepada golongan ini?
Jawapannya, ada. Melalui pendidikan.
Saya percaya - sampai hari ini, masih percaya - untuk mengubah generasi dan membina bangsa, mulakannya dengan pendidikan.
Dan pendidikan ini bukan di universiti, tetapi di sekolah pada tahap seawal mungkin, supaya pada akhirnya, sesiapa sahaja boleh menghargai manusia dan meraikan perbezaan manusia.
Segarkan ingatan, manusia pelarian dan manusia bukan pelarian, kita sendiri - manusia juga- yang beri gelarannya. Kita juga yang asing-asingkan statusnya.
"Kita perlu berubah daripada pendidikan yang menghasilkan tenaga pekerja kepada pendidikan yang mendidik manusia menjadi manusia.
"Pendidikan itu bukan hanya mengajar huruf, bahasa dan sains teknologi. Pendidikan juga boleh berkisar dengan menukar persepsi terhadap mereka,'' kata Dr Andika Wahab, Felo Kanan di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM sebelum ini ketika kami berbincang mengenai pelarian di Malaysia, seputar isu Rohingya.
Kata Dr Andika, menjadi kewajiban mereka yang ada di Malaysia, selepas menerima mereka (pelarian) atas dasar kemanusiaan untuk memberi kumpulan ini satu hak asasi yang wajib mereka dapat iaitu pendidikan.
"Ini penting kerana mereka adalah aset, sebelum mereka membulatkan pandangan untuk memberi semula kepada negara tempat mereka dilahirkan dan pulang berbakti, apa yang mereka cedok di sini, ilmu yang dipelajari melalui pendidikan akan dibawa bersama nanti,'' katanya dan saya bersetuju bahawa ini juga dapatan kajian saya pada 2019.
Bahawa, mereka mahu pulang ke negara asal, mahu memberi semula kepada negara yang ditinggalkan buat seketika untuk membina tembok harapan keluar daripada kesusahan sementara.
Bergerak daripada pandangan Dr Andika dan dapatan kajian ilmiah itu serta pembacaan buku Refuge, Many dreams, one land (2013), karya Jackie French, saya percaya - sehingga hari ini, masih percaya - ada seperkara kita boleh lakukan untuk membantu pelarian-pelarian yang semakin bertambah di peta negara kita dan juga di radar global.
Ya, tukar persepsi terhadap mereka. Kalau kita boleh menerima Andy Garcia dan gemar lakonannya, atau, halwa telinga kita boleh kata “ya” kepada muzik reggae Bob Marley, apa salahnya kita terima dengan persepsi positif pelarian yang ada di dunia ini, tanpa terkecuali, yang ada ramai di Malaysia ini.
Untuk rekod, Andy Garcia dan Bob Marley adalah pelarian sebelum mencipta nama dalam bidang masing-masing.
Untuk memulakannya, apa kata gerakkan dengan paling dekat, cuba sahaja kita ubah pandangan kita tentang sekumpulan orang yang berhimpun di hadapan rumah kayu di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.
Pandangan penuh keliru mereka serta wajah sugul bersama kertas penuh di tangan, tentunya mencampakkan fikiran kita membuat kesimpulan mudah, " Ah, mereka ini, datangnya membawa masalah lagi".
Itulah persepsi yang boleh diubah melalui pendidikan. Bahawa, didik hati memikirkan, mereka ini sedang meminta bantuan untuk satu kehidupan yang lebih baik di Malaysia, sampai masa mereka akan pulang juga.
Paling ramai dalam kumpulan ini ialah Rohingya, minoriti Muslim yang tiada negara _Myanmar pun tidak, Bangladesh juga bukan.
Ya, sejak mereka mula datang ke negara ini, lebih 30 tahun lalu dan barangkali pelarian negara lain lebih lama daripada itu, sudah begitu banyak Malaysia memberi dan mereka pula, sebagai pelarian meminta terlalu banyak, itu dan ini.
Benar, ada banyak sekolah pendidikan khusus untuk pelarian di negara ini diselenggara UNHCR, tetapi kebanyakannya ditutup antaranya kerana kekurangan dana, ditutup kerana sekatan akibat COVID-19.
Sekolah ini wajar disegarkan semula dengan persepsi baharu tentang pelarian, mereka perlu dibantu menerusi pendidikan. Saya juga ada menulis tentang bantuan kepada sekolah pelarian sebelum ini.
Hari ini, saya menulis lagi. Pada Hari Pelarian Sedunia, 20 Jun, dengan satu permintaan. Bukan meminta mereka diberi lagi dengan terlalu banyak, sedangkan mereka membalas terlalu sedikit, kerana itu terlalu putih menggambarkan cerminan menyokong golongan pelarian.
Tidak juga meminta jangan hiraukan mereka sama sekali, tetapi pentingkan rakyat tempatan dahulu, jangan menjadi seperti kera di hutan disusukan, anak sendiri dibiar kelaparan, kerana itu terlalu hitam dan kejam terhadap pelarian.
Saya minta untuk semua berdiri di petak kelabu - melihat sisi di tengah-tengah, bahawa semua manusia itu pelarian. Bahawa semua pelarian itu manusia. Dan, semua manusia perlukan bantuan manusia lain.
Selamat Hari Pelarian Sedunia 2022.
* Azlinariah Abdullah menulis tesis PhD bertajuk "The Myanmar Rohingyas : Challenges Faced by the "Refugee" Community in Malaysia 2014-2016, penulis buku 'Pengembara Tanpa Pasport' dan Editor Astro AWANI.
** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Dr Azlinariah Abdullah
Mon Jun 20 2022
Kumpulan manusia yang menjadi pelarian akan bertambah dari hari ke hari antaranya disebabkan perang, konflik dan pencerobohan ke atas negara lain seperti yang berlaku di Ukraine sejak Februari lepas. - Gambar Reuters
UniMAP rangka Pelan Strategik 2026-2030, sasar penghasilan 37,500 bakat
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sedang merangka Pelan Strategik UniMAP 2026-2030 yang antara lain menyasarkan melahirkan seramai 37,500 bakat menjelang 2030.
UECL: Chelsea belasah Noah tanpa belas kasihan
Chelsea mengekalkan rekod sempurna dalam saingan Liga Persidangan Eropah (UECL) dengan membelasah kelab Armenia, Noah, 8-0.
Setel akan kenakan caj 1% untuk tambah nilai guna kad kredit
Setel mengatakan caj 1% ini tidak tertakluk kepada tambah-nilai automatik ke dompet digital berkenaan.
Pegawai kadet UPNM didakwa cederakan junior guna seterika wap panas
Seorang pegawai kadet UPNM mengaku tidak bersalahatas pertuduhan mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.
Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS berikutan penurunan kadar Fed
Ringgit dibuka pada 4.38 berbanding dolar AS pada Jumaat selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.
Niaga SPOTLIGHT: GLC, GLIC Investments - Transparency and Accountability
Malaysia’s GLICs hold combined AUM valued at over RM1.8 trillion, roughly the size of Malaysia’s nominal GDP
Following the enactment of the Audit (amendment) Bill, which took effect on 1st November, the Auditor-General now holds the authority to audit the accounts of 1,856 entities, including GLCs.
If audits uncover just RM1 million in savings per company, the total could reach RM2 billion - resources that can be allocated towards transforming Malaysians’ lives for the better.
NIAGA SPOTLIGHT focuses on transparency and accountability for GLCs and GLICs to identify underperforming entities and improve Malaysia's overall economic landscape.
Following the enactment of the Audit (amendment) Bill, which took effect on 1st November, the Auditor-General now holds the authority to audit the accounts of 1,856 entities, including GLCs.
If audits uncover just RM1 million in savings per company, the total could reach RM2 billion - resources that can be allocated towards transforming Malaysians’ lives for the better.
NIAGA SPOTLIGHT focuses on transparency and accountability for GLCs and GLICs to identify underperforming entities and improve Malaysia's overall economic landscape.
14,000 penduduk dipindahkan akibat kebakaran hutan di California
Lebih 25 juta orang kini berada di bawah amaran 'Red Flag' kerana keadaan kebakaran yang "melampau dan mengancam nyawa."
Bursa Malaysia rendah sedikit dalam dagangan awal
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.46 mata kepada 1,622.82 daripada 1,623.28 pada Khamis.
Peniaga rugi RM140,000 terima 'cek tendang' urusan jualan jam Rolex
Mangsa lelaki rakyat tempatan mengiklankan jam tangan miliknya di aplikasi Facebook dengan harga RM88,000 pada 27 Okt lepas.
Kerajaan ada rancangan sandaran jika MALBATT terpaksa berundur
Katanya, buat masa ini komitmen negara masih berterusan seperti negara-negara lain yang menghantar anggota tentera mereka ke Lubnan.
Permintaan kelabu di Hari Pelarian Sedunia 2022
Ada cara untuk membantu golongan pelarian yang semakin bertambah setiap hari di Malaysia dan di peta dunia disebabkan konflik, perang dan perubahan iklim global. Antaranya memberi bantuan pendidikan
Air mata pelarian Rohingya...ini kisah Saiful Rohin
Sempena Hari Pelarian Sedunia disambut pada 20 Jun setiap tahun, Pengarang Berita, Azlinariah Abdullah menyorot kisah pelarian Rohingya, Saiful Rohin yang membantu Rohingya lain di seluruh dunia.