KUALA LUMPUR: Institusi pendidikan perlu menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam sewaktu orientasi termasuk memberi pendidikan mengenai impak negatif buli dalam kalangan pelajar.

Pakar Psikologi Kanak-kanak Universiti SEGi, Prof Datin Dr Mariani Md Nor berkata, kes buli di institusi pendidikan terus menyaksikan peningkatan ketara sejak kebelakangan ini.

Ini kerana, katanya, ada pihak yang menganggap perbuatan itu satu amalan tradisi dan normal serta tidak salah untuk diteruskan.

"Kes buli ini kadang-kadang melibatkan mereka yang (menganggap) ia seolah-olah satu tradisi. Apabila dikatakan itu buli, mereka mengatakan itu bukan buli, sebaliknya satu orientasi kepada murid-murid baru.

"Jadi, sepatutnya orientasi itu perlu ditetapkan SOP-nya oleh pihak sekolah dan dimaklumkan kepada ibu bapa.

"Ini supaya ibu bapa juga boleh menjadi mata dan telinga kepada sekolah dalam memastikan gejala buli ini dapat dihentikan," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.

Mariani berkata, perbuatan membuli dalam kalangan pelajar termasuk ketika sesi orientasi tidak wajar diamalkan di Malaysia sebagai sebuah negara yang bertamadun.

"Kita tidak mahu, apabila anak murid ini keluar nanti, dalam minda mereka, kalau masuk ke sesuatu tempat baru, harus dilakukan buli tersebut.

"Kita tidak mahu begitu. Kerana, adab, budi, kesopanan serta kesantunan kita memang amat tinggi dan patut dikekalkan, sesuai dengan apa yang sepatutnya berlaku.

"Yang kita kehendaki dalam mencapai sustainable development goal (SDG), terutama dalam pendidikan, ialah untuk melahirkan murid yang mempunyai etika dan moral yang patut diteladani.

"Ini dalam usaha memastikan bakal-bakal modal insan kita adalah mereka yang boleh dipercayai sebagai bakal pelapis pemimpin negara," jelasnya.



Gejala Buli | Perlu SOP seragam, kekang dalam kalangan pelajar


Pada masa sama, tambah Mariani, yang lebih membimbangkan adalah kesan terhadap psikologi mangsa buli kerana mereka mungkin terdorong untuk terlibat dalam aktiviti kurang sihat atau tercicir dalam pendidikan.

Malah, katanya, ada juga kes buli yang membawa kematian.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, peranan mencegah buli perlu dimainkan oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk tenaga pengajar memandangkan pelajar lebih banyak meluangkan masa di sekolah berbanding di rumah.