KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan supaya segera mewartakan peraturan bagi produk berkaitan rokok elektronik dan vape.


Ringkasan AI
  • Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan segera mewartakan peraturan bagi produk rokok elektronik dan vape untuk mengurangkan risiko kesihatan dan eksploitasi industri vape.
  • Presiden MMA, Dr. Azizan Abdul Aziz, menyatakan kebimbangan terhadap 111 kes keracunan cecair vape sejak 2015, termasuk kes kanak-kanak bawah umur, serta kehadiran kios vape berhampiran institusi pendidikan.
  • Azizan memberi amaran bahawa peningkatan penggunaan vape dalam kalangan anak muda boleh merumitkan pengurusan penyakit tidak berjangkit dan membebankan sistem penjagaan kesihatan, menyeru Ahli Parlimen mengutamakan kesihatan generasi muda dan mendesak kerajaan bertindak segera.


Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz berkata kelewatan berkenaan telah mengakibatkan risiko kesihatan yang ketara dan eksploitasi jurang kawal selia oleh industri vape.

"Kami (MMA) dimaklumkan bahawa draf peraturan berkenaan telah siap sejak akhir tahun lepas namun sehingga kini belum ada sebarang berita tentangnya. Kerajaan perlu menjelaskan sebab kelewatan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kebimbangan telah meningkat susulan 111 kes dilaporkan berhubung pendedahan keracunan berkaitan cecair vape dari 2015 hingga tahun lepas, termasuk kes melibatkan kanak-kanak bawah umur.

Dr Azizan berkata satu daripada isu utama ialah kios vape yang banyak berhampiran dengan institusi pendidikan.

"Kios ini bukan sahaja menjual produk vape tetapi juga mempromosikan vape sebagai pilihan gaya hidup kepada anak muda, sekali gus menyebabkan ketagihan nikotin awal dan normalisasi terhadap vape.

"Pemasaran vape yang agresif sebagai trend amat membimbangkan kerana boleh mendorong ketagihan jangka panjang terutama dalam kalangan anak muda yang mudah terpengaruh," katanya.

Dr Azizan turut memberi amaran bahawa peningkatan penggunaan vape dalam kalangan golongan muda boleh merumitkan pengurusan penyakit tidak berjangkit (NCD) sekali gus membebankan sistem penjagaan kesihatan.

"Ketagihan terhadap nikotin pada usia muda bukan sahaja menimbulkan risiko kesihatan yang serius, malah memerlukan pengurusan tingkah laku yang intensif," katanya sambil menyeru Ahli Parlimen untuk mengutamakan kesihatan golongan generasi muda dan memberi tekanan kepada kerajaan untuk bertindak dengan segera.

-- BERNAMA