Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) mengenepikan perbezaan politik dan mencapai konsensus nasional bagi menangani isu-isu yang disifatkannya 'teramat penting'.

"Maka telah tiba waktunya untuk kita semua mencapai satu konsensus nasional terhadap isu-isu yang teramat penting ini yang mendatangkan impak terhadap identiti kita sebagai sebuah bangsa dan negara," kata beliau dalam ucapan perutusan khas untuk rakyat Malaysia bertajuk 'Ke Arah Sebuah Konsesnsus Nasional' di Sunway, Ahad.

Katanya pencapaian konsensus itu perlu bagi mengatasi beberapa isu yang mampu mengancam identiti negara sebagai sebuah bangsa dan negara serta isu-isu perpaduan, perkauman, tadbir urus negara dan juga ketelusan.

Menurut Anwar, sejak akhir-akhir ini beberapa keadaan dan kejadian telah mengakibatkan hubungan baik di antara kaum dan agama di Malaysia menjadi semakin renggang, malah menjadi-jadi sehingga boleh menggugat perpaduan.

Katanya, rakyat Malaysia tidak boleh lagi leka kerana terdapat beberapa pihak yang didakwanya sedang bertindak berusaha sedaya upaya untuk membawa negara ke ambang kemusnahan.

"Jika keutuhan silaturrahim ini tercalar, maka identiti kita sebagai warga Malaysia juga bakal terhapus," kata Anwar yang juga ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan ahli Parlimen Permatang Pauh.

anwar

Kata beliau, rakyat Malaysia perlu mengubah halatuju dari arah polarisasi yang menjadi-jadi menuju arah penyepaduan yang lebih jitu serta menghentikan semangat perkauman yang keterlaluan.

Anwar turut menggesa rakyat Malaysia supaya menghentikan budaya menghasut persengketaan dan kebencian terhadap penganut agama, dan merapatkan silaturrahim sesama mereka.

"Para pemimpin dari kedua-dua belah pihak perlu mengenepikan isu kepartian dan menunjukkan semangat kepimpinan sejati untuk meleraikan ketegangan ini dan berusaha memperbaiki keadaan," tegasnya.

Selain itu, Anwar juga menggesa semua pihak supaya berhenti mempersoalkan kedudukan utama agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

"Dalam menegaskan kedudukan Islam dan mengakui bahawa orang Islam merupakan majoriti penduduk di negara ini, kita mesti menolak tanggapan bahawa Islam sedang terancam.

"Kita mesti menolak tanggapan bahawa wujudnya satu konspirasi jahat untuk merubah status Islam sebagai agama bagi Persekutuan kepada satu agama yang lain," katanya.

Bagaimanapun, menurut Anwar, pada masa yang sama hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan terpakai buat semua agama lain di Malaysia perlu diperakui.

"Kita adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai komuniti agama. Dari sudut ini, penganut agama Buddha, Taoisme, Kristian, Hindu, Sikh dan penganut-penganut agama etnik lain perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana yang mereka pilih," jelasnya.

Kata beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab moral untuk semua, khususnya wakil rakyat, untuk melangkaui batas kepartian dan berganjak menuju suatu konsensus nasional demi membawa Malaysia ke hadapan.