Selepas berjaya menempuh pelbagai rintangan di bumi Artik, Rizal Khalif berkongsi pengalaman menyertai ekspedisi 'Fjällräven Polar 2018' yang memerlukannya mengendali kereta luncur salji anjing.

Rizal ketika dihubungi Astro AWANI menceritakan pengalamannya mengendali enam anjing ‘huskies’ sepanjang enam hari ekspedisi itu berlangsung yang bermula 9 hingga 16 April lalu.

“Setiap satu daripada mereka mempunyai perangai dan kerenah masing-masing. Perkara utama yang kami semua perlu dahulukan adalah anjing-anjing ini, kemudian baru diri sendiri.

“Kami perlu pastikan anjing-anjing ini dalam keadaan selesa seperti menyediakan tempat teduh untuk ia berehat dan menyediakan makanannya.

“Sebagai seorang Islam yang tidak pernah mengendali anjing, tiba-tiba terpaksa menjaga dan berkomunikasi dengan enam ekor haiwan itu memang sesuatu yang mencabar buat saya," jelasnya.

Foto: Instagram/@abangpolar

Tambah Rizal, walaupun tidak pernah membela anjing tetapi untuk memastikan dia mempunyai hubungan yang baik selama enam hari itu, Rizal perlu berkomunikasi dengan anjing-anjing ini.

“Saya mengehadkan diri saya untuk menyentuh dan memeluk anjing-anjing ini walaupun saya sudah memakai sarung tangan dan berpakaian tebal serta kalis air.

“Saya cuma sentuh sedikit dan memuji anjing-anjing ini sebagai tanda terima kasih kerana telah bekerjasama memudahkan perjalanan luncur salji ini,” ujarnya.

Ketika disoal tentang cabaran yang dihadapi ketika berada di bumi Artik itu, Rizal luah rasa bangga dan bersyukur kerana berjaya menempuh ekspedisi itu.

“Pada mulanya memang tidak dinafikan bahawa ia memang sesuatu yang mencabar dari segi mental dan fizikal terutamanya pada hari pertama.

“Semua perkara baru perlu saya belajar dengan cepat dan itu sedikit sebanyak mengganggu emosi saya. Tetapi menjelang hari-hari yang seterusnya, saya dan rakan-rakan eskpedisi seluruh dunia bekerjasama sehingga tiba ke garisan penamat,” katanya.

Foto: Instagram/@abangpolar

Menurut Rizal, biarpun menerima kritikan di awal penglibatannya, namun Rizal telah pun mendapatkan nasihat dan garis panduan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Katanya, ramai yang beranggapan bahawa mengendali kereta luncur salji anjing ini merupakan perkara yang sensitif bagi seorang yang beragama Islam.

Tetapi, sebaliknya, dia tidak menghadapi sebarang kesukaran untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang Muslim sepanjang ekspedisi dan seterusnya mengharumkan nama negara.

Kata Rizal, dia bangga menjadi rakyat Malaysia beragama Islam pertama menyertai ekspedisi yang disifatkannya sebagai amat mencabar itu.

Foto: Instagram/@abangpolar

“Pada hari terakhir ekspedisi itu, perasaan saya memang sebak dan sedih, tetapi apabila saya berjaya membawa bendera Malaysia ke garisan penamat, perasaan bangga itu tidak dapat digambarkan.

“Saya bukan sahaja mengharumkan nama negara, tetapi saya juga telah memperkenalkan Malaysia kepada rakan-rakan ekspedisi yang lain tentang menariknya negara kita ini,” luahnya.

Rizal turut berkongsikan pengalaman beliau di bumi Artik sepanjang ekspedisi 'Fjällräven Polar 2018' di platform media sosialnya Facebook dan Instagram.




Netizen turut luah rasa bangga terhadap anak tempatan yang berjaya mengharumkan nama negara ini.