KUALA LUMPUR: Malaysia dan Laos perlu meningkatkan kerjasama mereka untuk menjadikan ASEAN lebih kukuh serta berdaya tahan, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Timbalan Menterinya, Liew Chin Tong berkata dengan Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan, isu-isu seperti Grid Tenaga ASEAN serta tenaga boleh baharu sewajarnya dimasukkan dalam agenda.

"Ini akan membantu kami membina hubungan yang lebih mantap. Saya sangat percaya bahawa ASEAN hanya boleh menjadi lebih kuat jika kami berkembang bersama-sama dengan negara jiran.

"Untuk ASEAN berkembang lebih baik, terutamanya dalam konteks dunia yang tidak menentu, setiap ekonomi ASEAN bukan sahaja harus disepadukan secara menegak dengan rantaian bekalan global tetapi juga bersepadu secara mendatar di seluruh rantau ini," kata Liew dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau juga berkata sekarang adalah masa bagi memperkenalkan Laos kepada perniagaan Malaysia untuk menggalakkan lebih banyak penglibatan dalam pelaburan di Laos.

Liew menjelaskan Naib Menteri Perindustrian dan Perdagangan Laos, Manothong Vongsay telah melawat Kuala Lumpur serta Melaka pada Ogos dan menubuhkan Biasiswa Kerjasama Ekonomi Malaysia-Laos.

Usaha itu disokong oleh sumbangan daripada enam institusi pengajian tinggi swasta untuk mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.

Biasiswa tersebut bertujuan untuk meningkatkan pendidikan serta keupayaan profesional pelajar dari Laos, memupuk pertumbuhan ekonomi bersama dan persefahaman antara kedua-dua negara, meningkatkan hubungan pendidikan selain menggalakkan pembangunan ekonomi serantau.

Biasiswa ini akan membolehkan pelajar Laos yang layak untuk belajar dalam bidang ekonomi berkaitan di Malaysia.

Sebanyak 12 biasiswa ditawarkan kepada pelajar Laos yang layak.

-- BERNAMA