KUALA LUMPUR: Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto bakal mengadakan lawatan negara ke Malaysia pada 27 Januari atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Menurut Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Ahad, ia merupakan lawatan negara pertama Prabowo Subianto ke negara di rantau Asia Tenggara selepas pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Indonesia pada 20 Oktober 2024.

"Lawatan negara ini adalah cerminan hubungan persahabatan yang istimewa dan erat antara Malaysia dan Republik Indonesia.

"Semasa lawatan ini, Presiden Prabowo Subianto akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas  Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim," tambah Wisma Putra.

Selain itu, Presiden Republik Indonesia itu juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang keberadaannya di Malaysia untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, selaku negara tetangga serumpun yang akrab dan dua negara pengasas ASEAN, lawatan negara itu melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk melonjakkan tahap hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan kedua-dua negara dan juga untuk rantau ASEAN.

"Keutuhan jalinan yang harmoni dan strategik ini mencakupi pelbagai bidang kerjasama yang komprehensif seperti politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosio-budaya," katanya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan dua hala telah direkodkan pada RM106.06 bilion (AS$23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (AS$22.41 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

Pada tahun 2023, Republik Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (AS$24.39 bilion).