Hari ke lapan Ops Daulat untuk memerangi penceroboh Sulu yang berkubu di Sabah menyaksikan peristiwa yang menyayat hati dengan kehilangan nyawa perajurit negara. Berikut adalah peristiwa yang berlaku pada hari ini:-

- Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan bahawa seorang tentera Malaysia disahkan terkorban dalam satu insiden pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pagi ini.

- Beliau berkata pasukan keselamatan telah diserang hendap oleh kumpulan pengganas itu pada 7.45 pagi dan selepas itu mereka melarikan diri sebelum dijejaki pasukan keselamatan dan berlaku pertempuran. Beliau juga berkata dalam pertempuran itu tiga orang anggota pengganas turut terbunuh.

- Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata seorang lagi anggota tentera meninggal dunia apabila terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lahad Datu hari ini.

- Beliau berkata kejadian berlaku apabila lori tentera yang dipandu oleh mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas ketika dalam perjalanan dari Lahad Datu ke bandar Cenderawasih.

- Dalam perkembangan yang lain, Hamza mengesahkan dua pengganas ditembak mati dalam pertempuran pagi tadi. Beliau berkata seorang lagi penceroboh yang terkena tembakan sempat melarikan diri.

- Hamza juga mengesahkan mayat jeneral yang dibawa keluar adalah Haji Musa yang mengetuai kumpulan pengganas Sulu.

- Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata jenazah Allahyarham Prebet Mohd Hurairah Ismail yang maut dalam pertempuran dengan pengganas di Lahad Datu dijangka diterbangkan ke Lapangan Terbang Pengkalan Chepa pada jam 4 pagi Rabu.

- Kerajaan hari ini mengumumkan tiga bantuan untuk penduduk kampung yang terjejas dalam Operasi Daulat berikutan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo dan Tanjung Batu di sini.

- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa bantuan itu ialah pemberian bantuan ehsan wang tunai RM1,000 kepada setiap keluarga, bantuan pembinaan semula rumah yang musnah dengan kos setiap rumah RM50,000 serta pembaikan kecil untuk rumah yang rosak, dan penjadualan semula bayaran pinjaman kepada penduduk yang berniaga dan meminjam daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Usahawan Nasional (Tekun Nasional) dan Amanah Ikhtiar.

- Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yakin pilihan raya umum ke-13 akan diadakan serentak di seluruh negara termasuk di kawasan pencerobohan pengganas di Lahad Datu kerana situasi di kawasan itu bertambah baik.

- Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata berkata polis akan mengesan individu-individu yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan di laman sosial atau blog yang berbaur penghinaan dan cercaan terhadap perjuangan anggota pasukan keselamatan yang mempertahankan negara di Lahad Datu, Sabah.

- Adik kepada ketua kumpulan pengganas Jamalul Kiram III, Esmail Kiram II sedang berusaha mendapatkan penjelasan daripada kerajaan Malaysia ketika pasukan keselamatan negara terus memburu pengganas di Lahad Datu.

- Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina, Manuel Roxas II berkata Jabatan Hal Ehwal Luar Negara akan mengajukan soalan-soalan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.