Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar menyifatkan desakan peserta Perhimpunan Aman Warga Teksi di Padang Merbok hari ini sebagai "kumpulan kecil" yang membuat "bising".

Beliau berkata perhimpunan yang dianjurkan segelintir pemandu teksi itu tidak akan mengubah sebarang keadaan mahupun memenuhi kehendak penganjur perhimpunan tanpa permit itu.

Syed Hamid menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan atas desakan peserta perhimpunan itu kerana mempunyai tanggungjawab yang besar kepada rakyat.

"Kalau semua orang dengar kumpulan kecil, nanti semua orang kena letak jawatan. Ini sudah menjadi fesyen baharu di negara kita di mana orang yang diberi mandat oleh rakyat disuruh letak jawatan berikutan isu-isu kecil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium SPAD 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas perhimpunan warga teksi yang mendesak supaya SPAD dirombak dan kerajaan mengharamkan aplikasi Uber dan Grabcar yang dikatakan menjejaskan 'periuk nasi' pemandu teksi.

Syed Hamid berkata terpulang kepada pihak yang bertanggungjawab sama ada mahu mengambil tindakan atau tidak terhadap penganjur perhimpunan itu.

Sementara itu, ketika diminta mengulas syor persatuan dan pemandu teksi supaya Pelan Transfomasi Teksi dikaji semula, beliau berkata SPAD kini sedang dalam perbincangan untuk menyelesaikan isu-isu teksi yang dibangkitkan.

"Kami telah memulakan perbincangan dalam makmal teksi bermula Isnin lalu bersama dengan semua pemegang taruh dan saya kira ini cara yang betul untuk menyelesaikan isu bukan dengan cara demonstrasi jalanan," katanya.

Beliau juga mengalu-alukan pandangan dan pendapat persatuan dan pemandu teksi bagi mengatasi masalah sekali gus menaik taraf industri pengangkutan awam darat di negara ini.