KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memasang satu perangkap kamera di kawasan perumahan Bukit Permata, Batu Caves.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, langkah itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan terdapat kehadiran harimau di lokasi berkenaan.

“Siasatan di lokasi dan kawasan hutan berhampiran telah dijalankan pada Ahad malam, hari yang sama aduan diterima.

“Pada pagi Isnin juga kita buat operasi mengesan dan menjejak kesan tapak kaki harimau di kawasan sekitar namun tiada kesan ditemui buat masa ini,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Isnin.

Beliau menjelaskan, temubual dengan penduduk setempat juga telah dilakukan bagi mendapat maklumat lanjut.

Operasi berkenaan dikendali oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Perhilitan Selangor bersama Perhilitan Daerah Hulu Selangor.

Rentetan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri.

Sebarang aduan boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.